Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata, keputusan mengenai permohonan itu hanya akan ditentukan kerajaan yang perlu melihat keseluruhan proses dan prosedur sebelum cadangan tersebut dipersetujui.

“Saya enggan komen mengenai perkara ini buat masa ini kerana belum dapat maklumat lengkap.

“Tetapi kerajaan akan kaji permohonan yang dibuat sama ada sesuai atau tidak untuk dilaksanakan di negara ini,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Pusat Latihan Kemahiran Peringkat Tertinggi (Coas) Institut Kemahiran Tinggi Perda (Perda-Tech), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Farizan Darus dan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda), Saringat Hassan.

Semalam, Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda meminta kerajaan mempertimbangkan cadangan itu dengan membandingkan negara seperti Singapura, Thailand, Sri Lanka, Eropah dan Amerika Syarikat (AS) yang menetapkan umur persaraan mencecah 65 tahun.

Jelasnya, lanjutan umur persaraan 62 tahun itu hanya diberikan kepada penjawat awam yang melepasi tapisan tertentu seperti tahap kesihatan dan kepakaran tertentu serta masih berminat untuk menyumbang kepakaran tenaga kerja.

Dalam pada itu Mohamad Zabidi berkata, kerajaan akan memperluas pengambilan calon berkelayakan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) ke dalam perkhidmatan awam berdasarkan bidang yang berkaitan.

Tambahnya, pada masa ini sebanyak 17 skim perkhidmatan sedia ada berkelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah diperuntukkan kemasukan di peringkat SKM dan akan diperluaskan kepada lebih banyak skim perkhidmatan lain yang bersesuaian.

“Dasar kerajaan adalah menggalakkan lebih ramai orang muda untuk memasuki institut kemahiran dan keluar sebagai usahawan atau bekerja di sektor perkhidmatan dan perkilangan.

“Selain itu, dengan memiliki SKM skim gaji mereka dalam perkhidmatan awam berbeza daripada lulusan SPM biasa kerana ada nilai tambah kepada kelulusan mereka,” ujarnya.