Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub berkata, kerajaan tidak bercadang untuk menutup Bernas, malah mengiktiraf peranan dimainkan syarikat itu selama ini dalam memajukan bidang pertanian negara.

Tegas beliau, kerajaan hanya berhasrat mengurangkan monopoli Bernas terhadap pengeluaran beras dengan cara turut memberi lesen sama kepada beberapa syarikat lain.

"Ada yang silap faham, kita bukan nak hapuskan Bernas cuma setelah masa berlalu, kita lihat ada beberapa masalah dan keperluan untuk pecahkan monopoli Bernas, dan buka kepada syarikat lain.

"Walau bagaimanapun, ia mesti ada kawalan sebab ini melibatkan keselamatan makanan negara. Mungkin kita beri kepada tiga atau empat syarikat. Itu akan dibincangkan kemudian," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Dialog Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Bersama Petani Kada di pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Nilam Puri, di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE