Wakil Kumpulan Five Productions, Shazwan Aziq Suhaimi, 14, berkata, mereka mengetahui pertandingan itu menerusi pihak sekolah dan tertarik untuk mengambil bahagian dalam pertandingan itu setelah mendapat bantuan dan sokongan daripada guru-guru di sekolahnya.

“Kami mempunyai beberapa idea untuk jalan cerita video ini dan kami juga mendapat bantuan daripada kawan-kawan seramai 20 orang.

“Setelah sebulan, barulah kami berjaya menyiapkan video akhir ini sebelum dihantar untuk pertandingan. Kami sengaja meletakkan sedikit elemen humor bagi menarik juri-juri mengadili pertandingan itu,” ujar pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mutiara Rini, Skudai, Johor ini.

Video kumpulan Five Produictions menceritakan tentang sentimen perkauman yang menebal diri pelajar sehingga mencetuskan perselisihan faham dan pergaduhan berjaya menambat hati jrui sekaligus memenangi antara hadiah tiga utama berkenaan.

Tiga pemenang utama pertandingan itu membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 dan sijil penyertaan tajaan Orando Holdings manakala 10 hadiah saguhati menerima langganan e-paper Utusan Malaysia selama setahun.

Hadiah disampaikan oleh Pengarah Urusan Orando Holdings Sdn. Bhd., Datuk Dr. Eng Wei Chun. Yang turut hadir, Penolong Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan (Btp), Alias Samsudin; Wakil Yayasan Noah, Rozia Hanis Hussein; Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye; Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak.

Sementara itu, kumpulan daripada SOV Production daripada SMK Muara Tuang, Kota Samarahan, Sarawak, Pauldrick Enggat Navy, 16, berkata, dia begitu teruja apabila memenangi antara tiga hadiah utama pertandingan itu dan bersemangat untuk menghasilkan lebih banyak karya pada masa akan datang.

Katanya, kumpulan itu yang dianggotai lapan orang sudah menyiapkan video pendek untuk pertandingan #muhibah pada bulan akan datang dan akan berusaha untuk memenangi pertandingan itu sekali lagi.

“Kali pertama kami menyertainya hanya mengambil masa hampir dua minggu dan hasilnya sangat memberansangkan apabila memenanginya.

“Mungkin selepas ini, kami akan cuba lebih baik dan akan memperbaiki beberapa kelamahan yang kami rasakan patut dilakukan,” ujarnya.

Video kumpulan itu bertajuk persahabatan berbilang kaum iaitu mengisahkan tentang sekumpulan pelajar tingkatan empat yang bekerjasama dalam mencari penyelesaian untuk mengubah kesedihan rakan mereka sempena perayaan Tahun Baru Cina.

Manakala kumpulan Weirdos daripada SMK Taman Desa Skudai, Johor, mengetengahkan M. Pravin Raj, berhasrat untuk memasuki pertandingan itu setiap bulan dan wang yang dimenangi mereka nanti akan digunakan mereka untuk menyambung pelajaran di peringkat universiti.- UTUSAN ONLINE