Pengarah LMNPP, Haryany Mohamad berkata, bagi tahun ini, program yang dinamakan sebagai Semalaman di No. 57 Macalister itu akan diadakan buat kali kelima pada 13 dan 14 April ini bersempena Sambutan Ulang Tahun Penubuhan LMNPP ke-54.

“Bagi menyuntik kelainan, para peserta akan berpakaian seperti jururawat hospital era zaman penjajahan British serta makanan juga akan dihidangkan di dalam bekas makanan hospital era berkenaan.

“Sasaran penyertaan adalah terhad kepada 50 peserta sahaja dengan bayaran RM50 untuk dewasa, RM25 untuk orang kurang upaya (OKU) serta RM30 untuk pelajar dan pendaftaran penyertaan akan ditutup pada Khamis ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, program itu bertujuan memberi pendedahan serta pengalaman mendekati muzium melalui sejarah dan warisan bangunan No. 57 Macalister yang berusia lebih 100 tahun.

“Bangunan ini merupakan Hospital Memorial King Edward VII dan berfungsi sebagai hospital bersalin ketika itu.

“Pembinaannya merupakan cadangan daripada Pegawai British, Willian Evans serta Willian Peel pada tahun 1912 dan ia mempunyai sejarah yang cukup panjang sebelum menjadi lokasi Muzium Negeri Pulau Pinang pada 2010,” katanya. - UTUSAN ONLINE