Beliau yang merupakan Ga­benor BNM dari Mei 1994 hingga Ogos 1998 itu juga berkata, akti­viti yang dilakukan oleh pedagang-pedagang mata wang asing BNM dalam tempoh ber­kenaan tidak mengikut prosedur sepatutnya.

Katanya, selain daripada jumlah dagangan yang terlampau besar berbanding jumlah rizab, beliau mendapati masalah utama BNM dalam aktiviti berkenaan ketika itu adalah ketiadaan peng­asingan tugas antara pihak yang melakukan dagangan dengan pihak melakukan pempro­sesan.

“Setelah mengambil alih jawatan Gabenor BNM pada Mei 1994 daripada Tan Sri Jaffar Hussien, saya mengambil tindakan susulan dengan menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan yang dianggotai oleh Gabenor, Timbalan Gabenor dan Penasihat (Penolong Gabenor).

“Melalui jawatan­kuasa tersebut, keputusan berkaitan urus­niaga forex (perdagangan mata wang asing) dibuat oleh jawatankuasa tersebut dan bukan lagi oleh individu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam keterangan kepada prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat kes kerugian akibat urus niaga mata wang asing oleh BNM sekitar tahun 1990-an di Istana Kehakiman di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad memberitahu, beliau ada menghantar surat pada 8 Ogos 1994 yang bertajuk A Report on Bank Negara Malaysia kepada Menteri Kewa­ngan ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Merujuk kepada Pengurusan Rizab (dalam surat berkenaan), dinyatakan bahawa pihak bank tidak akan terlibat dalam aktiviti yang berbentuk spekulasi semata-mata, sebaliknya tumpuan kepada pelaburan yang dapat memelihara nilai rizab dan mengoptimumkan pulangan pelaburan,” katanya.

Berhubung penyataan ‘error of judgement of a few officers’ dalam surat berkenaan, Ahmad berkata, beliau tidak ada merujuk atau maksudkan mana-mana individu, sebaliknya merupakan ekspresi beliau dan Lembaga Pengarah terhadap apa yang berlaku ke atas BNM sebelum beliau dilantik sebagai Gabenor.

Dalam pada itu, katanya, menerusi Mesyuarat Lembaga Pe­ngarah BNM pada 15 Februari 1995 berhubung Akaun Tahunan 1994, ahli lembaga mengambil maklum jumlah keseluruhan kerugian dialami adalah RM10.6 bilion termasuk RM2.7 bilion da­ripada aktiviti perdagangan mata wang asing.

Ujarnya, beliau ada menghantar surat pada 28 Februari 1995 kepada Ketua Setiausaha Perbendaharaan ketika itu, Tan Sri Clifford Francis Herbert bagi memaklumkan mengenai Penyata Akaun Tahunan BNM tahun 1994 sebelum dikemukakan kepada Menteri Kewangan.