Titah baginda, layanan tersebut perlu untuk kanak-kanak pelarian di negara ini terutamanya untuk mendapat pe­luang pendidikan dan kemudahan rawatan kesihatan.

Baginda menegaskan, anak-anak daripada keluarga pelarian tidak harus menjadi mangsa dan menanggung penderitaan di­sebabkan perbuatan yang bukan dilakukan oleh mereka.

“Anak-anak daripada keluarga pelarian tidak meminta agar mereka dilahirkan dan tidak juga mempunyai pilihan untuk tidak dilahirkan daripada keluarga pelarian.

“Tidak memadai jika sesebuah negara mempamerkan obligasi sifat kemanusiaan sekadar memberikan kebenaran kepada orang pelarian menum­pang ber­teduh di bumi mereka.

“Sifat kemanusiaan itu hendaklah disusuli dengan satu tanggungjawab bersama yang turut disokong oleh masyarakat yang memperlihatkan semangat belas ihsan, membenarkan dan membantu mereka membina hidup baharu secara bermaruah lagi terhormat,” titah baginda.

Tuanku Zara bertitah demikian ketika berkenan hadir merasmikan Kongres Ke-40 Persatuan Pediatrik Malaysia di Pusat Konvensyen Ipoh di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia, Hal Ehwal Pengguna dan Integrasi Nasio­nal negeri, A. Sivanesan dan Presiden Persa­tuan Pediatrik Malaysia, Dr. Muhammad Yazid Jalaludin.

Titah Tuanku Zara, ketika ini terdapat 150,000 orang pelarian Myanmar, Palestin, Syria, Ye­men, Iran, Sri Lanka, Pakistan dan Afghanistan di negara ini.

Titah baginda, 25,000 orang atau 17 peratus daripada jumlah itu di bawah usia 18 tahun dan hanya 30 peratus daripada mereka berpeluang mengikuti pelajaran di pusat-pusat pembelajaran komuniti.