Menerusi pengumuman ditularkan itu, dimaklumkan terdapat tiga kanak-kanak berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana mengalami kegagalan organ berfungsi dan tiada harapan dapat diselamatkan.

Antara simptom jangkitan penyakit terbabit seperti didakwa ialah kurang selera makan, batuk dan deman. Justeru, ibu bapa dinasihat agar mengelak membawa anak-anak ke Miri buat masa ini.

Menurut Pengarah Kesihatan Sarawak, Dr. Jamilah Hashim, pihaknya telah dimaklum tentang maklumat tular itu tetapi hasil semakan dan verifikasi pemantauan yang dijalankan mendapati tiada wabak penyakit berjangkit meningkat ketara seperti didakwa sejak sembilan bulan lalu.

"Namun, pihak pengurusan Hospital Miri mengesahkan memang terdapat sedikit peningkatan kemasukan pesakit ke wad di Hospital Miri sejak awal Februari lalu terutama Wad Kanak-Kanak.

"Keadaan ini biasa berlaku setiap tahun selepas musim perayaan atau keraian tetapi kemasukan itu adalah disebabkan oleh pelbagai penyakit, bukan hanya disebabkan oleh sebarang penyakit berjangkit yang spesifik," ujarnya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut mengulas satu lagi maklumat tular dalam media sosial berhubung memo dalaman Hospital Miri mengenai Notis Segera Penangguhan Pembedahan Elektif Bertarikh 07 Mac 2018.

Menurutnya, notis itu dikeluarkan berikutan peningkatan kemasukan pesakit ke hospital tersebut secara keseluruhan, termasuk di ICU.

Katanya, notis itu ditujukan kepada semua Ketua Jabatan di hospital tersebut bukan kepada orang awam untuk tindakan menangguhkan buat sementara waktu kes pembedahan elektif tetapi bukan pembedahan kecemasan.

"Langkah itu dilakukan bagi membantu menguruskan kes pesakit di wad dengan lebih efisyen, di mana beberapa kakitangan Dewan Bedah diminta membantu di wad.

"Perkhidmatan hospital termasuk pembedahan terutama bagi kes kecemasan adalah tidak terjejas dan masih diteruskan", jelasnya.

Sehubungan itu, ujarnya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak khuatir dan berhenti menyebarkan berita yang belum disahkan kesahihannya kerana perbuatan itu boleh menimbulkan kecelaruan dalam kalangan masyarakat.

Tambahnya, orang ramai yang ingin mendapatkan kepastian atau pengesahan terhadap maklumat tular, boleh menghubungi 'Crisis Preparedness and Response Centre', Jabatan Kesihatan Sarawak di talian 082-443248. - UTUSAN ONLINE