Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Zulkefli Salleh berkata ia akan bersiaran pada pukul 7 malam dengan siaran ulangan pada 12.30 tengah malam.

Beliau yang juga Pengarah Urusan BNC berkata semua persiapan dari segi teknikal dan kakitangan telah dibuat sejak dua minggu lalu bagi membolehkan berita Bahasa Tamil itu kembali bersiaran selepas dihentikan pada tahun 2015.

Unit Berita Bahasa Tamil akan diketuai oleh K. Ghandi, kata beliau dalam satu kenyataan.

Zulkefli berkata persiapan bagi menyiarkan semula berita Bahasa Mandarin pula sedang giat dijalankan, dan tarikh siaran akan diumumkan kemudian.

Ketika membuat kunjungan sulungnya ke ibu pejabat Bernama pada 28 Mei lepas, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo meminta agensi itu menyiarkan semula berita dalam bahasa Tamil dan Mandarin menerusi saluran BNC.

Saluran Bernama News Channel boleh ditonton di Astro 502, Unifi tv 631, MYTV 121 dan juga di seluruh dunia melalui laman sesawang www.bernama.com dan Youtube. - BERNAMA