Menurut artis yang terkenal lagu Pencuri Hati itu, ini penting kerana media sosial banyak dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab bagi menyebarkan berita palsu bersifat kontroversi kerana ia lebih mudah untuk tular.

Kata beliau, hakikatnya berita-berita tersebut adalah palsu dan akhirnya memperdayakan pembaca sendiri.

“Malangnya, mereka menjatuhkan hukum terhadap seseorang individu yang menjadi mangsa tanpa usul periksa,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambah Ayda, penyebaran berita palsu dibimbangi akan menjadi ancaman baharu kepada masyarakat termasuk golongan artis sekiranya undang-undang berkenaan kesalahan tersebut tidak diwujudkan secepat mungkin.

Katanya, ketiadaan undang-undang berkaitan perkara tersebut membuatkan golongan artis yang mempunyai pengaruh dan pengikut tersendiri di media sosial takut untuk berkongsi sesuatu melainkan kepada media yang berkredibiliti dan diiktiraf.

“Bagi menyelesaikan ma­salah yang semakin membimbangkan itu, kerajaan perlu mencari mekanis­me baharu bagi meng­halang dan mengambil tin­dakan terhadap mana-mana individu yang berkongsi berita palsu tanpa dikawal.

“Justeru sa­ya harap umum sedar dan menggunakan media sosial dengan penuh adab dan ke jalan kebaikan. Jika senario ini berterusan saya bimbang kadar jenayah siber akan terus meningkat dan seolah-olah memberi ancaman baharu kepada ma­syarakat,” katanya.