Penolong Pengarah Informasi dan Media, Kementerian Hal Ehwal Luar Negara Rusia, Alexander Bikantov berkata, berita palsu mampu menggugat keselamatan dua negara ke tahap sehingga boleh mencetuskan peperangan seterus­nya berupaya menghancurkan sesebuah negara.

“Kita sentiasa melakukan pemantauan dari semasa ke semasa menerusi akhbar tempatan memastikan maklumat yang disampaikan tepat dan tidak bertentangan.

“Kita juga ada ruangan da­lam laman sesawang rasmi kita yang menunjukkan mana-mana berita palsu melibatkan kedua-dua negara ini,” katanya dalam pertemuan bersama 40 wakil media Program Wartawan Muda Sputnik di Moscow, Rusia, hari ini.

Menurut Alexander, berita palsu adalah strategi perang baru yang boleh memusnahkan negara dengan hanya melalui hujung jari, justeru pemberitaan secara tepat perlu dilakukan kesemua pihak yang bertanggungjawab.

“Adalah sangat penting masyarakat kini mampu mempertimbangkan antara perkara yang betul dan salah supaya penyebaran berita palsu dapat ditangani secara menyeluruh,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, golongan wartawan adalah calon terbaik untuk diangkat sebagai ikon keamanan negara.

Katanya, penulisan yang berhemah akan memberi cerminan yang baik kepada negara itu sekali gus mengangkat martabat mereka.