Wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR mendapatkan pandangan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Perak, MOHD.ASRI MOHAMAD GHAZALI AL HAFIZ berhubungperkara itu. Selain pernah menjadi Imam Utama di Masjid Al Azim Pandan Indah, beliau juga cukup dikenali dalam kalangan masyarakat kerana aktif mengadakan kuliah-kuliah ilmu khususnya di Parit Buntar, Perak

 

UTUSAN: Apakah pandangan Yang Arif berhubung penyiaran berita palsu?

MOHD.ASRI: Kesan penyiaran dan penyebaran berita palsu akan menyebabkan sesebuah negara itu menjadi huru-hara manakala kesan kepada individu pula ia akan menyebabkan individu itu terpalit satu fitnah yang amat memalukan dan sekiranya tidak diperbetulkan kesan negatif secara berterusan akan berlaku.

Ada pihak yang menganggap tindakan kerajaan menggubal undang-undang bagi mengekang berita palsu bertujuan menutup kebenaran apa pandangan Yang Arif?

Saya tidak bersetuju dengan dakwaan bahawa tindakan kerajaan menggubal undang-undang tersebut bertujuan untuk menutup kebenaran dan ia adalah tidak benar sama sekali.

Apa yang dilakukan kerajaan bertujuan mendidik rakyat negara ini untuk lebih beretika dan ber­akhlak agar menilai sesuatu berita yang d terima dan tidak mudah untuk turut serta menjadi ejen penyebar fitnah. Oleh itu mereka yang masih berdegil dengan peraturan ini perlu dihukum melalui peruntukan undang-undang yang sewajarnya demi untuk mengekang agar ia tidak terus berlaku.

Menjelang PRU-14 semakin banyak isu-isu yang dibangkitkan sehingga boleh memecah belahkan umat Islam, apa nasihat Yang Arif?

Perpecahan antara umat Islam di Malaysia adalah antara isu besar sekarang ini. Jika tidak ada usaha untuk penyatuan umat Islam ini yang bertunjangkan akidah maka sudah pastinya yang akan rugi adalah kita sendiri.

Istilah yang biasa disebut dan dihayati bersama iaitu “buang yang keruh ambil yang jernih” perlu direalisasikan. Sekiranya tidak, sudah pastinya akan ada pihak yang mengambil kesempatan untuk terus memecah belahkan kesatuan ummah demi untuk kepentingan mereka dan nampak­nya perkara sedemikian seperti sedang berlaku sekarang ini.

Apakah peranan yang boleh dimainkan oleh pemimpin dalam mengelakkan politik kebencian berleluasa?

Politik kebencian boleh dihindarkan dan dielakkan apabila kita mengikut apa yang telah digariskan oleh al-Quran dan apa yang diajar oleh Rasulullah SAW. Peranan yang boleh dimainkan oleh pemimpin untuk menge­lakkan politik kebencian ini ialah bermula dengan diri mereka sendiri iaitu perlu ikhlas dalam membuat sesuatu perkara.

Mereka juga perlu memperbanyakkan program keagamaan seperti ceramah agama atau forum perbincangan yang dapat menasihati masyarakat agar hidup secara harmoni dan berkasih sayang serta bersyukur atas nikmat keamanan yang kita sama-sama kecapi.

Dalam menghadapi PRU-14, apakah nasihat Yang Arif kepada rakyat khususnya umat Islam?

Nasihat saya, kita perlu lebih berhati-hati apabila menerima sesuatu berita, begitu juga dalam menyebarkan sesuatu berita yang diterima kepada orang lain.

Marilah kita amalkan apa yang telah Islam ajarkan iaitu membina kasih sayang sesama kita seterusnya dapat menghindarkan fitnah dan penyebaran berita palsu atau tidak benar.

Ingatlah berita palsu dan fitnah itu boleh mengakibatkan impak negatif yang sangat besar sama ada dari sudut keagamaan, negara dan individu itu sendiri dan seterusnya boleh membawa kepada kehancuran sesuatu kaum itu sendiri.