Memasuki usia kandungan 11 minggu, Hafiz berkongsi kegembiraan tersebut menerusi satu rakaman video yang dimuat naik di laman Instagram semasa mereka sedang melakukan pemeriksaan kandungan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

"Biarpun kandungan tersebut masih terlalu awal, namun saya teruja dan gembira untuk berkongsi hal ini kepada semua," katanya berterus-terang.

Dalam pada itu Hafiz menambah, selain isterinya yang mengalami alahan teruk, dia juga kerap muntah-muntah.

"Saya harap isteri dan bayi berada dalam keadaan sihat dan tak sabar menunggu kelahirannya," tambah Hafiz.

Pasangan berkenaan berkahwin pada 14 Mei 2016 dan bayi sulung pasangan ini dijangka lahir pada penghujung tahun ini. - UTUSAN ONLINE