Matlamat program itu adalah untuk menginspirasi dan mengajak umat Islam berinteraksi dengan al-Quran sekurang-kurangnya sejam sehari secara berterusan.

Ia adalah anjuran Rumah Ngaji Sarawak, Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Mydin Vista Tunku, Pusat Maklumat Islam(IIC) dan Pustaka Negeri Sarawak.

Ketua Unit al- Quran JAIS, Abdul Rahim Abdul Rashid ketika ditemui berkata, masyarakat Islam perlu menghayati kitab suci itu dengan cara pembacaan yang betul tajwidnya, faham makna ayat, serta melaksanakan tuntutan daripada ayat al-Quran.

“Semua pihak perlu mengambil peluang untuk membaca al-Quran pada setiap masa dan memahami isi kandungannya,” katanya.

Menjelas lanjut, katanya, sejarah penurunan al-Quran sangat besar pengertiannya kepada umat Islam.

“Malah, amat besar ganjaran bagi mereka yang memelihara kitab suci dengan membaca, menghafaz dan menghayati ayat-ayat yang terkandung di dalamnya, selain disampaikan kepada orang lain,” ujarnya.

Sementara itu, wakil Rumah Ngaji Sarawak, Alina Abduk Razak berkata, pihaknya menyokong program ‘World Quran Hour’ yang kali ketiga diadakan di negara ini setakat ini.

“Umat Islam mesti terus berpegang teguh kepada al-Quran sebagai sumber kehidupan.

“Tidak ada alasan sibuk untuk mendekatkan diri dengan sekurang-kurangnya sejam membaca al-Quran,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE