Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, isu tersebut yang turut dijadikan usul oleh UMNO Kemaman dalam persidangan perwakilan bahagian hari ini merupakan isu kemanusiaan.

Katanya, ia bukan sekadar isu agama, justeru usaha menamatkan penindasan ini perlu menarik sokongan semua tanpa mengira anutan agama, fahaman politik dan kaum.

“Beritahu rakan-rakan kita daripada parti lain, rakan-rakan badan bukan kerajaan (NGO) kita supaya sokong perjuangan ini dan ketepikan perbezaan ideologi politik demi membela nasib Rohingya.

“Kita mahu bila perdana menteri bawa isu ini kepada Donald Trump agar organisasi keamanan dunia dapat menangani masalah kaum Rohingya yang dilayan dengan kejam oleh pihak junta tentera Myanmar.

“Jemputan itu sebenarnya adalah bukti Donald Trump memberi penghormatan kepada kepimpinan perdana menteri dan bukannya bermakna kita berkiblatkan Amerika Syarikat.

“Kita adalah negara majmuk, kita adalah sebuah negara yang mahu menjadi negara maju dan kita mahu berkawan dengan semua kuasa besar,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kemaman di Dewan Berlian di sini.

Katanya, perdana menteri sebelum ini pernah menyuarakan keprihatinannya terhadap masalah yang menimpa kaum Rohingya yang perlu ditangani bersama oleh masyarakat antarabangsa. - UTUSAN ONLINE