Ini kerana, menurut Presiden Presiden Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (Wafiq), Prof. Madya Dr. Rafidah Hanim Mokhtar, adalah tidak munasabah untuk kerajaan membekukan pemberian biasiswa tetapi dalam masa yang sama memberi bantuan kepada institut pengajian tinggi swasta (IPTS).


“Kenapa faktor ketidakstabilan ekonomi dan kewangan negara dijadikan hujah (Timbalan Menteri Pendidikan) Teo Nie Ching untuk menghentikan MyBrain demi kelangsungan dan pembelajaran dan penyelidikan di IPTA (institut pengajian tinggi awam) tetapi peruntukan yang tidak dimasukkan dalam pembentangan bajet 2019 boleh diberikan kepada kolej swasta?


“Kembalikan MyBrain, atau jenamakan semula jika itulah yang kerajaan perlu agar anak-anak bangsa kita dapat meneruskan pengajian mereka ke peringkat tertiari,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.


Beliau merujuk kepada kontroversi peruntukan khas Kementerian Kewangan kepada Kolej Universiti New Era yang mendapat kecaman banyak pihak semalam.


Beliau yang juga bekas Timbalan Dekan Akademik dan Penyelidikan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengakui sering berhadapan dengan pelajar kurang berkemampuan yang bergantung dengan biasiswa MyBrain.


Tambahnya lagi, pernah juga terdapat kes pelajar yang terpaksa meminjam wang dari saudara mara bagi membayar yuran pengajian.


“Kadang-kadang biasiswa MyBrain lambat masuk, pusat siswazah kata pelajar tak boleh daftar. Saya selalu merayu kepada pusat siswazah, tunggu sekejap, jangan tutup lagi pendaftaran. Inikan pula apabila MyBrain sudah dihentikan,” katanya. - UTUSAN ONLINE