Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim berkata, buat ketika ini, terdapat beberapa laporan berkenaan kemasukan orang hanyut Rohingya dari Myanmar ke dalam sempadan perairan Pantai Barat Semenanjung.

“Kapal-kapal Maritim Malaysia yang membuat rondaan di Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak akan dibekalkan dengan stok makan dan minuman untuk diagih­kan kepada kumpulan tersebut.

“Ini sebelum mereka dibawa ke pangkalan Maritim terdekat dan diserahkan kepada pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk urusan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Shahidan berkata, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut diarahkan menempatkan anggota-anggota mereka di dalam kapal-kapal Maritim Malaysia sebagai persediaan menghadapi kemungkinan kes-kes melibatkan rawatan kecemasan.

“Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Mercy Malaysia yang mempunyai pasukan pegawai perubatan sukarela adalah dialu-alukan untuk turut serta dalam misi bantuan kemanusiaan ini.

“Berdasarkan pelbagai reaksi oleh masyarakat dunia, adalah diharapkan agar kerajaan Myanmar yang dipimpin oleh Aung San Suu Kyi dapat menghentikan tindakan kekerasan terhadap etnik Rohingya dengan segera. Beliau merupakan penerima Anugerah Nobel Keamanan, bukan anugerah kezaliman,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Zulkifli Abu Bakar berkata, Maritim Malaysia telah meningkatkan rondaan bagi memantau sebarang kemungkinan kemasukan pelarian etnik Rohingya dari Rakhine, Myanmar ke perairan negara.

“Bot-bot pelarian Rohingya yang memasuki perairan Malaysia akan diberi bantuan sewajarnya.

“Maritim Malaysia akan menghulurkan bantuan makanan, minuman serta bantuan perubatan kecemasan kepada pelarian semasa berada di tengah laut,” katanya yang memberitahu pelarian terlibat akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya.