Penyandang kerusi tersebut berkata, pencalonan semula beliau atas kepercayaan kepemimpinan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan BN dianggap satu amanah serta tanggungjawab yang perlu dipikul sebaik mungkin.

Justeru, beliau berikrar tidak akan mempersia-siakan kepercayaan itu dengan memberi perkhidmatan terbaik jika diberi peluang dipilih sekali lagi menjadi Ahli Parlimen Petra Jaya pada pilihan raya umum kali ini.

“Tidak lupa, terima kasih juga kepada penduduk Parlimen Petra Jaya atas sokongan padu yang diberikan selama ini dan berharap mereka terus memberi sokongan pada hari pengundian iaitu 9 Mei ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Fadillah, komitmennya kepada warga Petra Jaya adalah meneruskan kesinambu­ngan pembangunan fizikal khususnya kemudahan infrastruktur dan sosial untuk rakyat.

Beliau berkata, usaha tersebut termasuk menyediakan lebih banyak rumah mampu milik; mewujudkan banyak peluang perniagaan dan pekerjaan; merancakkan lagi pembangunan modal insan; pembangunan pendidikan dan latihan kemahiran serta pembangunan sahsiah.

Dalam pada itu, calon BN bagi kerusi Parlimen Kapit, Datuk Ale­x­ander Nanta Linggi turut menghargai peluang diberikan oleh kepemimpinan parti terutama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

“Saya akan menumpukan perhatian kepada rakyat dan pembangunan yang diperlukan di Kapit. Sehingga kini, banyak sudah dicapai dan dibangunkan seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik walaupun belum meliputi 100 peratus,” ujarnya.

Bagi Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) yang dicalonkan semula di kerusi Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing, partinya mempunyai keyakinan dapat memenangi kesemua empat kerusi yang diserahkan kepada mereka untuk ditandingi kali ini.

“Terima kasih diucapkan kepada Abang Johari yang berpegang kepada konsensus dan semangat BN dalam menentukan calon pada PRU-14 kali ini,” katanya.