Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, bagi tujuan itu beliau telah mengarahkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Halal Industri Development Corporation (HDC) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi untuk memanggil ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat multinasional bagi mengadakan perbincangan agar peluang kerjasama itu dapat dibuka.

“Saya tahu syarikat multinasional ini mahu keluarkan sendiri produk mereka tanpa mengetahui yang produk serta perkhidmatan halal syarikat tempatan juga mencapai standard tinggi.

“Saya cadangkan supaya syarikat tempatan ketuk pintu syarikat multinasional untuk membantu memasarkan produk dan perkhidmatan di peringkat global, kalau mereka tidak mahu buka pintu beritahu saya,” katanya ketika sesi Dialog Perdana Industri Halal 2017 Sempena Pembentukan Pelan Induk Industri Halal 2.0 (2018-2030) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Sementara itu dalam sidang akhbar, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Halal Malaysia berkata, beliau sendiri akan mempengerusikan mesyuarat bersama CEO syarikat multinasional tersebut untuk membincangkan prospek kerjasama bersama syarikat tempatan.

“Ia mesti situasi menang-menang antara syarikat multinasional dan syarikat tempatan, kita bukan mahu memaksa mana-mana pihak dalam soal kerjasama ini.

“Kita mahu menawarkan sesuatu yang lebih baik dalam pengembangan produk serta perkhidmatan halal dengan jalinan kerjasama ini ia akan membuka ruang pasaran yang lebih luas.

“Kerjasama ini juga tidak membuatkan syarikat multinasional terpaksa menyerahkan bahagian mereka kepada syarikat tempatan sebaliknya kedua-dua pihak boleh membangunkan produk halal baharu atau mengeluarkan produk dengan menggunakan jenama bersama,” katanya.

Dalam masa sama, Ahmad Zahid menyambut baik cadangan Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Dr. Hasan Mad dalam sesi dialog itu agar kerajaan mewujudkan Taman Industri Halal Nasional sebagai persediaan kepada negara menuju era Revolusi Industri Keempat.

“Cadangan untuk kita wujudkan taman berkenaan akan diperhalusi dan dikemukakan ketika mesyuarat Majlis Halal Malaysia pada hujung tahun nanti.

“Kita sudah mempunyai 23 Taman Industri Halal di seluruh negara dan ia akan dikekalkan serta terus dikukuhkan, Taman Industri Halal Nasional ini merupakan komitmen kerajaan untuk mengembangkan produk serta perkhidmatan halal,” katanya.