Wakil UMNO Pahang, Datuk Suhaimi Sulong berkata, perusahaan durian Musang King mam­pu menambah pendapatan berkali-kali ganda kerana raja durian itu bukan sahaja diminati di negara ini malah mendapat sambutan yang menggalakkan di luar negara termasuk China.

“Harga Musang King boleh mencecah sehingga RM800 sebiji, walaupun mahal ia mempunyai peminat tersendiri dan penjual tidak perlu bimbang sekiranya tiada pelanggan.

“Namun keuntungan ini hanya boleh dirasai peniaga-peniaga besar kerana usahawan kecil kurang diberikan peluang tersebut,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Indera Mahkota berkata, agensi kerajaan perlu membantu usahawan kecil sama ada dari segi kewangan atau memberikan bantuan nasihat supaya mereka mampu merebut peluang yang sedia ada.

“Berilah peluang kepada pe­niaga kecil,  mereka juga boleh berniaga, boleh menanam durian walaupun hanya mempunyai dusun yang kecil.

“Sekiranya mereka diberi peluang sekurang-kurangnya dapatlah meringankan kos sara hidup dan menambah pendapatan,” katanya.