Beri pandangan tentang had umur pemegang lesen
Anthony Loke

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pandangan rakyat berhubung perkara tersebut adalah penting terutama apabila statistik kemalangan menunjukkan kadar kematian jalan raya melibatkan golongan muda berumur 16 hingga 25 tahun amat membimbangkan.

“Kita memohon orang ramai menyatakan pandangan mereka menerusi medium-medium sedia ada seperti Facebook Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR),” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di pejabat JKJR di sini hari ini.

Ketika ini, had umur minimum pemegang lesen tersebut adalah 16 tahun bagi motosikal dan 17 tahun bagi kereta.

Berdasarkan statistik pada 2016, sebanyak 1,161 kematian berlaku melibatkan golongan muda berumur 16 hingga 20 tahun serta 1,000 kematian bagi yang berumur 21 hingga 25 tahun.

Berhubung perkembangan terkini tentang pesawat Malaysia Airlines MH17 yang dilaporkan ditembak menggunakan peluru berpandu milik tentera Rusia, Anthony berkata, perkara itu telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Sebarang kenyataan berhubungnya akan dikeluarkan oleh Wisma Putra hari ini,” katanya.

Para penyiasat antarabangsa yang menyiasat insiden MH17 ditembak jatuh di timur Ukraine tiga tahun lalu, semalam mendedahkan buat pertama kali bahawa peluru berpandu yang digunakan merupakan milik briged ketenteraan Rusia.

Pasukan Penyiasat Bersama, terdiri daripada pihak berkuasa dari Australia, Belgium, Malaysia, Belanda dan Ukraine berkata, peluru berpandu BUK-TELAR itu milik Briged antipesawat ke-53 yang berpangkalan di Kursk, Rusia. - UTUSAN ONLINE