SHAHRIN SAHIB
SHAHRIN SAHIB

Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (Utem), Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib berkata, kerajaan perlu memperuntukkan dana yang mencukupi bagi sektor berkenaan selaras dengan Revolusi Industri 4.0 menerusi pemerkasaan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Menurutnya, ekonomi dunia masa kini berada di peringkat cabaran dan secara tidak langsung memberi kesan kepada ekonomi negara.

“Melihat kepada situasi itu kita mengharapkan Bajet 2018 akan terus memberi ke­utamaan pada sektor pendi­dikan.

“Ini kerana Revolusi Industri 4.0 yang bakal kita tempuhi memerlukan peruntukan besar bagi penambahbaikan dari segi prasarana di setiap peringkat dalam sektor pendidikan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis makan malam penghargaan media bersama Utem di sini, malam tadi.

Majlis tahunan anjuran Utem itu diadakan bagi meraikan pengamal media cetak dan elektronik di seluruh Melaka yang telah membantu universiti berkenaan dari segi promosi dan laporan pelbagai berita.

Shahrin turut berharap Utem terus mendapat peruntukan besar bagi dana pembangunan untuk bidang yang diberi tumpuan iaitu kejuruteraan dan teknologi kejuruteraan dalam Bajet 2018.

“Dana pembangunan ini penting bagi Utem dalam usa­ha kita memastikan segala perancangan yang perlu diberi keutamaan dapat dilaksanakan dengan jayanya selain dapat terus menjadi pemacu dalam sektor pendidikan teknikal awam negara,” katanya.

Sementara itu tambah beliau, pihaknya mengharapkan kerjasama baik antara Utem dan pengamal media diteruskan pada masa hadapan bagi meningkatkan persepsi positif institusi berkenaan di pelbagai peringkat.

“Saya dimaklumkan pada tahun ini sahaja sebanyak 533 berita atau laporan tentang Utem. Kejayaan yang dicapai telah dilaporkan media cetak dan elektronik dan ini mening­kat 100 peratus berbanding tahun lalu,” katanya.