Ahli Jawatankuasa Teknikal Kanun Jenayah Syariah negeri, Nik Bahrum Nik Abdullah berkata, apabila hukuman tersebut dijalankan di tempat terbuka, masyarakat akan sama menyaksikan bagaimana pesalah disebat sekali gus memberi pengajaran kepada mereka.

Katanya, hukuman tersebut juga adalah sebahagian daripada tuntutan agama supaya dilaksanakan sebatan yang disaksikan sebilangan masyarakat Islam.

“Saya percaya bila sebatan ini dijalankan masyarakat akan mula terdidik dengan hukuman itu dan kesalahan dijangka semakin berkurangan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan semalam sebulat suara meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 (Pindaan 2017) yang membolehkan hukuman sebat terhadap pesalah dijalankan di tempat terbuka.

Enakmen tersebut merupakan sebahagian daripada persiapan Kerajaan Pas Kelantan untuk melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan 1993 (2015) sekiranya Rang Undang-Undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jena­yah) 1965 (RUU 355) diluluskan di Dewan Rakyat kelak.

Antara perkara penting lain yang turut terkandung dalam pindaan enakmen tersebut ialah membenarkan video digunakan sebagai bahan bukti dalam perbicaraan.

Sementara itu, Nik Bahrum berkata, hukuman sebat tersebut akan dilakukan oleh pegawai terlatih dari Jabatan Penjara di mana-mana sahaja tempat yang diwartakan oleh pihak berkuasa negeri dengan disaksikan sebilangan orang Islam termasuk seorang pegawai perubatan kerajaan beragama Islam.

Katanya, pihak berkuasa ne­geri boleh mewartakan mana-mana tempat yang didapati sesuai seperti pekarangan mahkamah, penjara, stadium dan masjid.

“Telah diperincikan dalam enakmen tersebut kaedah seba­tan ialah mengangkat rotan tidak melebihi bahu dengan kekuatan sederhana yang tidak menyebabkan kulit terluka.

“Panjang rotan yang digunakan ialah tidak lebih 1.22 meter manakala tempat sebatan ialah di seluruh bahagian belakang tubuh kecuali kepala, leher dan kemaluan.

“Pesalah lelaki akan disebat secara berdiri dan perempuan akan duduk di atas kerusi,” katanya yang juga Pengerusi Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia Pas Kelantan.