Beri kerjasama, khidmat terbaik kepada kerajaan baharu - MB
Osman Sapian

Beliau berkata, mereka yang merupakan tonggak Perkhidmatan Tadbir Negeri Johor (JCS) perlu memberikan kerjasama penuh untuk melancarkan pentadbiran kerajaan negeri yang baharu.

“Saya ingin menekankan prinsip sebagai kakitangan awam supaya memberi khidmat kepada kerajaan yang ada pada hari ini.

“Sebagai pegawai kerajaan, anda semua perlu memastikan dasar dan inisiatif kerajaan semasa dapat dicapai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perjumpaan Menteri Besar Johor Bersama Pegawai Tadbir Negeri Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani dan Pegawai Kewangan negeri, Datuk A. Rahim Nin.

Osman berkata, semua arahan wajib dipatuhi sepertimana sebelum ini agar hasrat dan perancangan kerajaan yang baharu berjaya dilaksanakan. - UTUSAN ONLINE