Titah Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, menerusi kaedah itu semua pihak akan merasa selesa dalam melakukan perancangan dan mempunyai keyakinan tinggi untuk melabur di Johor.

“Dalam membuat sesuatu dasar, kerajaan hendaklah berbincang dan mendengar pendapat daripada semua pihak yang terlibat sebelum membuat sesuatu keputusan.

“Jika dasar itu melibatkan hartanah, dengarlah pendapat daripada pihak pemaju, ejen hartanah dan pihak bank yang memberikan pinjaman,” titahnya.

Titah baginda disampaikan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam pembukaan penggal kelima persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-13 di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan di sini hari ini.

Baginda juga mahu kerajaan negeri mencari pelaburan jangka masa panjang, mempunyai nilai tambah yang tinggi dan industri mesra alam untuk kesejahteraan rakyat dan alam sekitar.

Sultan Ibrahim bertitah, industri yang melibatkan bahan kimia beracun atau mudah meletup perlu diteliti dengan betul sebelum dite­rima dan ditempatkan di lokasi yang jauh dari kawasan perumahan.

“Satu contoh kesilapan yang dibuat dulu adalah pembinaan kilang Titan di Pasir Gudang yang pada asalnya ditolak oleh Singapura tetapi kerajaan Johor pada ketika itu telah menerimanya,” titahnya.

Sultan Ibrahim juga menasihatkan kerajaan negeri supaya tidak memilih pelabur yang berhasrat datang ke negeri ini untuk membuat pelaburan.

“Saya nasihatkan kepada kerajaan (negeri) supaya jangan memilih pelabur yang hendak datang ke Johor, tidak kira dari negara mana, semuanya perlu dilayan sebaik-baiknya," titahnya.

Titah baginda, dalam usaha menarik lebih banyak pelabur, kerajaan negeri harus terlebih dahulu menyediakan infrastruktur asas antaranya jalan raya, bekalan air dan elektrik.