Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, sejak dahulu lagi, Polis Diraja Malaysia (PDRM) pernah membuat permohonan untuk membayar elaun kerja lebih masa kepada anggota pasukan keselamatan itu pada kadar sama diterima penjawat awam lain mengikut pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), namun tidak diluluskan.

“Yang hanya diluluskan (elaun) adalah untuk kakitangan awam kerana mereka bukan anggota beruniform. Walau bagaimanapun, anggota polis berkenaan diberikan elaun kemahiran secara bulanan antaranya elaun pemandu, elaun bahasa, elaun teknikal, elaun kepakaran seperti penyelam skuba, payung terjun dan lain-lain kemahiran diperlukan PDRM. Semua elaun ini dinaik­kan sewaktu saya menerajui PDRM.

“Misalnya, bagi elaun kepakaran dibayar antara RM150 dan RM350 bergantung kepada kemahiran masing-masing. Jika anggota tersebut memiliki dua atau tiga kemahiran berlainan, mereka akan mendapat semua elaun itu.

“Selain itu, anggota tinggal di rumah sewa yang tidak disediakan kuarters kerajaan juga diberi bantuan sewa rumah dan elaun sara hidup masing-masing mengikut kawasan dan negeri mereka bertugas. Jadi, saya bersetuju jika elaun kerja lebih masa diberikan kepada anggota polis berpangkat rendah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Hari ini, Utusan Malaysia melaporkan purata kerja warga PDRM terutamanya anggota polis pangkat rendah adalah antara 200 sehingga 300 jam dalam tempoh sebulan, melebihi waktu kerja biasa 120 jam.

Presiden Pegawai Kanan Polis (PPKP), Senior Asisten Komisioner Sulaiman Yahya berkata, anggota berkenaan tidak dibayar elaun kerja lebih masa dan pada masa sama terpaksa berhadapan dengan kos sara hidup tinggi.

Mengulas lanjut, Musa berkata, di bawah Akta Polis 1967, pegawai polis tidak dibayar elaun kerja lebih masa kerana mereka dianggap bertugas 24 jam dalam tempoh sehari.

Beliau malah berkata, mereka juga boleh dipanggil untuk ‘active duty’ pada bila-bila masa walaupun dalam masa bercuti.

“Walau demikian bagi pangkat rendah, mereka bertugas mengikut syif iaitu lapan jam setiap syif dan diberikan rehat satu hari selepas menjalankan syif tugas mereka.

“Kadang kala apabila tidak mencukupi anggota maka mereka terpaksa bekerja lebih masa yang melangkaui waktu syif ditetapkan,” katanya. - UTUSAN ONLINE