Perunding Teknologi Maklumat, Mohd. Ridzman Azzahari berkata, modus operandi terkini penipu alam maya atau scammer adalah melalui taktik phishing yang berselindung di sebalik sesuatu aplikasi.

Menurut beliau, rata-rata aplikasi yang ada pada hari ini sama ada yang terkandung secara sah di Google Play Store, Apple App Store mahupun ruangan muat turun lain mewajibkan pengguna untuk me­lakukan daftar masuk sebelum dapat menggunakannya.

Katanya, berikutan proses daftar masuk yang sedikit mengambil masa, kebanyakan pengguna lebih gemar untuk melakukan log masuk melalui akaun sedia ada seperti Facebook dan Google tanpa menyedari mereka sebenarnya memberi kebenaran kepada pihak ketiga untuk mengakses laman sosial dan data peribadi yang terdapat dalam telefon pintar berkenaan.

“Ada juga dalam kalangan scammer ini yang mana butang log masuk aplikasi mela­lui akaun Facebook dan Google sebenarnya hanya dibuat sebagai umpan.

“Di sebalik semua itu, ada virus yang kebiasaannya daripada jenis trojan yang mana ia boleh menyedut segala butiran maklumat dalam telefon pintar,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sebelum ini, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman mendedahkan kes jenayah komersial di negara ini semakin membimbangkan apabila mencatat 21,374 kes de­ngan jumlah kerugian mence­cah RM4.2 bilion sejak Januari hingga Oktober tahun ini.

Berdasarkan kaji selidik firma, Pew Research Center, Malaysia merupakan antara negara tertinggi pemilikan gajet dengan mencatatkan kadar penembusan mencapai 65 peratus.

Mohd. Ridzman yang juga Pengarah Onemyr Awareness Management berkata, terdapat beberapa aplikasi berkonsep siaran langsung yang popular digunakan dalam kalangan anak muda mempunyai ancaman trojan.

Katanya, dalam tempoh sebulan, pihaknya menerima kira-kira 15 aduan membabitkan kes scammer menerusi aplikasi telefon pintar.

Menurutnya, rata-rata yang terjerat mengalami kerugian antara RM1,000 hingga RM2,000.

“Apabila sindiket berjaya akses telefon pintar dan akaun laman sosial, mereka akan mencari fail-fail yang boleh digunakan sebagai bahan ugutan.

“Paling popular kebiasaan adalah gambar peribadi. Mang­sa terpaksa membuat pembayaran dan tidak buat laporan polis kerana berasa malu,” katanya.