Bagaimanapun, situasi rutin bagi mereka yang bergelar ibu bapa itu tidak dirasai oleh Aspalela Zan, 42, apabila ke­sempitan hidup yang dilaluinya memaksa dua anak dan tiga anak saudara yang dipeliharanya sejak kecil berhenti sekolah sejak beberapa tahun lalu.

Menurut ibu kepada 13 cahaya mata itu, keadaan keluarga yang besar dan tiada pendapatan tetap menyebabkan dia dan suami tidak mampu menampung per­belanjaan sekolah.

“Mereka termasuk anak saudara yang berusia 11 tahun mahu lagi bersekolah tetapi kami memang tidak mampu. Jika bersekolah pun, bukan sahaja tiada duit belanja malah untuk ke sekolah pun tiada kenderaan untuk membawa mereka.

“Kami tiada pilihan dan mereka terpaksa berhenti sekolah dan membantu saya de­ngan mengambil upah kerja-kerja kampung. Upah yang diterima pun hanya lepas untuk belanja poket mereka sahaja,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Wawasan Indah, Pe­nempatan Perumahan Masyarakat Setempat (PPMS) Bukit Merah di sini hari ini.

Menurut Aspalela, dalam keada­an kesempitan itu, hanya lima anaknya yang masih meneruskan persekolahan termasuk dua anak berusia empat dan enam tahun yang ditempatkan di tadika serta seorang cucu di taska.

Katanya, tiada bantuan lain diterima bagi meringankan beban keluarga mereka selain bantuan awal persekolahan dari Baitulmal yang diterima tiga anaknya.

"Suami saya bekerja mengait buah kelapa sawit dan kerja-kerja kampung dengan anggaran gaji RM500 sebulan manakala saya pula membantu dengan mencari barang lusuh untuk dijual.

"Macam manalah mahu hantar semua anak ke sekolah dalam keadaan elektrik pun tidak mampu bayar sehingga dipotong dan bil air pun tertunggak,” ujarnya.