Tidak terkecuali juga kepada pelabur yang mengalami kerugian demi kerugian untuk satu tempoh masa tertentu.

Pada ulasan kolum hari ini, kita akan menumpukan kepada pelabur dan pedagang saham yang telah mengalami kerugian demi kerugian ataupun portfolio pelaburan mereka mengalami penyusutan nilai.

Andaian yang keterlaluan

Cikgu Saham memberi contoh iaitu, seorang pelabur yang mempunyai pendapatan bulanan sebanyak RM3,000. Dalam tempoh melakukan urus niaga saham, pelabur tersebut memperoleh keuntungan dan juga kerugian. Bagaimanapun, kerugian lebih banyak daripada keuntungan.

Lazimnya, pelabur membeli saham daripada wang lebihan yang merupakan sebahagian daripada wang simpanan mereka. Tetapi terdapat juga yang melabur daripada wang yang bukan lebihan atau simpanan.

Pelabur beranggapan sekiranya mereka menggunakan wang simpanan untuk membuat pelaburan di dalam pasaran saham, mereka akan mendapat hasil keuntungan. Justeru, mereka boleh menggunakan hasil keuntungan tersebut sebagai perbelanjaan harian atau memenuhi kos sara hidup.

Setengah pelabur membuat matlamat atau impian untuk menjana 10 peratus setiap bulan daripada modal pelaburan sebanyak RM30,000. Pula­ngan 10 peratus daripada modal pelaburan ialah RM3,000 yang akan digunakan untuk berbelanja atau membayar komitmen bulanan.

Pasaran saham boleh beri keuntungan dan kerugian

Tetapi perlu diingatkan bahawa pelaburan di pasaran saham boleh mencatatkan keuntungan atau kerugian kerana pasaran saham boleh turun dan naik. Banyak faktor yang mempe­ngaruhi pergerakan harga saham ini termasuk faktor-faktor luar kawalan yang sering kali mengakibatkan pelabur dan pedagang saham kerugian.

Kembali kepada kisah asal tadi, dalam tempoh melakukan jual beli saham secara tiba-tiba pasaran saham jatuh tanpa diduga dan harga saham yang dibeli merudum sehingga pelabur mengalami kerugian sebanyak RM3,000.

Kerugian ini dikira daripada kerugian bersih setelah melakukan beberapa transaksi terma­suk juga bagi yang pertama kali membeli saham dan mengalami kerugian.

Maka, apakah yang perlu anda lakukan apabila mengalami situasi ini?

Pertama sekali anda perlu berhenti daripada meneruskan jual beli saham lebih-lebih lagi apabila jumlah kerugian tersebut menyamai gaji bulanan anda. Jika anda bergaji RM3,000 sebulan, apabila rugi bersamaan dengan nilai gaji, maka anda perlu berhenti.

Keluar daripada pasaran jika kerugian melebihi pendapatan

Jika anda bergaji RM10,000 sebulan dan mengalami kerugian sebanyak RM4,000, anda masih boleh meneruskan aktiviti jual beli kerana kemungkinan dalam transaksi seterusnya, anda memperoleh keuntungan yang menyamai RM4,000 atau lebih.

Tetapi sekiranya anda meneruskan aktiviti membeli dan menjual saham walaupun telah mengalami kerugian sebanyak RM4,000 dan anda masih mengalami kerugian demi kerugian hingga mencecah RM10,000, maka berhentilah daripada meneruskan urus niaga saham.

Keadaan yang menyebabkan pelabur mengalami kerugian demi kerugian ini menunjukkan bahawa sentimen pasaran adalah tidak sesuai atau dalam aliran menurun yang berpanjangan tanpa adanya aktiviti pantulan teknikal yang boleh memberikan keuntungan ketika membeli semasa pasaran jatuh.

Selain berhenti seketika daripada meneruskan urus niaga saham, di waktu yang sama anda perlu mengumpul semula mo­dal pelaburan yang hilang. Jika kerugian sebanyak RM3,000 anda perlu mengumpul semula jumlah tersebut.

Para pembaca mesti tahu bahawa kerugian bernilai RM3,000 akan mengambil tempoh beberapa bulan untuk dikumpul semula. Ini kerana gaji sedia ada perlu juga digunakan untuk membayar ansuran serta perbelanjaan harian.

Sudah tentu anda perlukan masa yang agak lama untuk menyimpan atau mengadakan modal baharu untuk masuk semula ke dalam pasaran.

Jangan habiskan wang simpanan beli saham

Tetapi apa yang kita lihat di dalam keadaan sebenar, pelabur kerap menggunakan wang simpanan secara berhabis-habisan ketika membuat urus niaga saham dan tidak mahu berhenti seketika apabila kerugian.

Ini akan menyebabkan kerugian menjadi semakin besar dan wang simpanan semakin kering kerana digunakan untuk membeli lagi saham dengan anggapan pada kali ini harga saham akan kembali naik dan menghasilkan keuntungan.

Kepada pembaca yang ingin mempelajari bagaimana menjana pendapatan dalam pasaran saham pada bulan Mac di Kuala Lumpur boleh menghubungi talian 019-2352037 untuk pendaftaran.