Tokoh Kewartawanan Negara, Datuk A. Kadir Jasin (gambar)berkata, mereka berhak menyuarakan pendapat supaya perkara itu diusulkan dan dibahaskan di Parlimen agar dijadikan sebagai undang-undang.

“Itu terpulang kepada mereka untuk berkempen bagi melaksanakan apa yang terbaik kepada media dan kewartawanan,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan dengan Majlis Penasihat Kerajaan di bangunan Ilham di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai desakan Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) yang mahu agensi-agensi media bebas daripada pengaruh parti politik.

A. Kadir yang juga Ketua Media dan Komunikasi bagi Jawatankuasa Peralihan Majlis Penasihat Kerajaan berkata, dengan cara itu, ia dapat membuka seluas-luasnya kepada usaha memulihkan kedudukan syarikat-syarikat media menerusi penstrukturan semula.

Beliau menambah, meskipun wartawan dan NUJ mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat, namun akhirnya rombakan sidang pengarang adalah ditentukan oleh pemegang syarikat organisasi terbabit.

“Dalam hal Utusan (Melayu), UMNO yang kena putuskan apa yang mereka mahu buat, bukan kerajaan,” tambah­nya.

Katanya, selagi saham majoriti syarikat dimiliki dan pengurusan dipegang oleh UMNO, wartawan tidak boleh membuat apa-apa melainkan mendengar kehendak parti politik itu.

“Saya difahamkan selain UMNO, ada beberapa pelabur-pelabur institusi lain yang memegang saham Utusan Melayu, tapi saya pasti mereka tidak mahu memiliki saham syarikat yang tidak membuat keuntungan,” jelasnya.