Jelas Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, perkara paling mustahak dalam isu tersebut adalah kesepakatan antara kedua-dua negara dalam usaha mencapai jalan penyelesaian.

“Selepas sebulan (tempoh pergantungan tamat) adalah bergantung pada siri-siri rundingan tetapi apa yang penting kita berjaya capai kata sepakat bahawa dalam hal ini (masih) boleh dirundingkan.

“Siapa yang mengetuai rundingan dan jangka masa RA dan ILS selama sebulan manakala had pelabuhan Johor Bharu dan Singapura pula dalam tempoh dua bulan adalah bukti kita ada kata sepakat,” katanya kepada pemberita di Stadium Persatuan Bola Keranjang Malaysia (Maba) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan tidak rasmi dengan Ketua-ketua Perwakilan ASEAN di separuh masa kedua perlawanan bola keranjang antara Westport Malaysia Dragon dengan San Miguel Alab Filipinas.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob; Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Brunei, Pangiran Asnawi Arbi Pangiran Sharifuddin; Duta Kemboja, Rath Many; Duta Laos, Houmdaophone Soukhaseum; Duta Myanmar, U Sein Oo dan Duta Filipina, Charles S.Jose.

Selain itu, Pesuruhjaya Tinggi Singapura, Vanu Gopala Menon; Duta Thailand, Narong Sasitorn; Duta Vietnam, Le Quy Quynh; Ketua Pengarah Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT), Kementerian Luar, Datuk Azmil Mohd. Zabidi dan Ketua Pengarah Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia, Nur Azman Abdul Rahim turut hadir dalam pertemuan tersebut.

Dalam perkembangan sama, Saifuddin memberitahu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hanya menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Bukit Serene, Johor Bahru yang dijadualkan esok.

Tegas beliau, pertemuan tersebut sama sekali bukan untuk berbincang mengenai keputusan pelaksanaan RA dan ILS.

“Tidak, sebab isu yang berkaitan dengan Singapura itu sudah ada mesyuarat dan rundingan yang sangat produktif antara saya dengan Menteri Luar Singapura semalam.

“Pertemuan Perdana Menteri dengan Sultan Johor esok tiada kaitan antara hubungan antara Malaysia dengan Singapura,” katanya. - UTUSAN ONLINE