Jenazah Allahyarham Mohd. Amirul Nizam, 25, yang mesra dengan panggilan Ustaz Mirul selamat dikebumikan pada pukul 2.40 pagi ini.


Terdahulu, van yang membawa jenazah bertolak dari Hospital Kuala Lumpur kira-kira pukul 6 petang selepas selesai proses bedah siasat dan padanan DNA sebelum dimandi, dikafan dan disembahyangkan di hospital berkenaan bersama 22 jenazah lain.


Turut mengiringi jenazah ialah isterinya Noor Fatihah Osman, 23 dan ahli keluarga terdekat.


Jenazah Allahyarham Mohd. Amirul Nizam tiba di kediaman orang tuanya tepat pukul 2 pagi sebelum disembahyangkan sekali lagi dan seterusnya dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Masjid Tujuh untuk dikebumikan.


Sementara itu bapanya, Sakarno Talib, 56, berterima kasih kepada semua pihak yang membantu menguruskan jenazah Allahyarham bermula dari awal sehinggal selesai pengebumian.


“Kami sekeluarga reda dengan pemergian Allahyarham dan semoga rohnya ditempatkan bersama orang-orang beriman,” katanya ketika ditemui pemberita.


Mohd. Amirul Nizam merupakan antara 23 mangsa yang terkorban dalam tragedi kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Datuk Keramat, Kuala Lumpur, semalam.


Media sebelum ini melaporkan arwah baru sahaja seminggu melangsungkan majlis persandingan dengan isterinya, Noor Fatihah. - UTUSAN ONLINE