Seorang pegawai di salah sebuah ladang kelapa sawit yang dikenali sebagai Manaf berkata, kanak-kanak yang bekerja di kawasan ladang kebiasaannya terpaksa mengikut kedua-dua ibu bapa mereka melakukan kerja-kerja mudah untuk mendapatkan upah.

“Namun, ada juga dalam kalangan mereka yang berupaya membuat kerja-kerja berat seperti memahat pelepah, menyabit buah, meracun dan sebagainya yang akan mendapatkan bayaran upah yang lebih lumayan.

“Kerja-kerja berat seper­ti itu tidak patut dilakukan kerana mereka mudah terdedah kepada kesan buruk yang boleh menyebabkan kecede­raan, penyakit malah ada yang membawa maut,” jelasnya ketika dihubungi baru-baru ini.

Situasi pengambilan pekerja kanak-kanak biasanya dilakukan oleh syarikat kecil dan persendirian kerana syarikat besar biasanya mempunyai prosedur operasi standard ketat yang wajib dipatuhi.

Jelasnya, syarikat kecil yang tidak teratur dari segi pengambilan pekerja, dokumentasi dan bayaran gaji menjadikan kanak-kanak terbabit melanggar undang-undang sedia ada.

Manaf yang bertugas di Sabah lebih 10 tahun memaklumkan, senario di negeri itu tidak berlaku di Semenanjung dan Sarawak, jika ada pun jumlahnya tidak besar berbanding di sini.

Sepanjang berkhidmat, Ma­­­naf berkata, pelbagai kes berlaku antaranya adalah kematian di­sebabkan ditimpa tandan sawit dan mata sabit yang terlepas dari ikatan dan sebagainya melibatkan kanak-kanak.

Namun, jelasnya, kes-kes tersebut tidak direkod dan dilaporkan kerana kedua-dua ibu bapa mereka tidak mempu­nyai dokumentasi yang sah dan akan menyebabkan mereka ditangkap jika ada sebarang pelaporan dibuat.

Tambahnya, bukan itu sahaja, terdapat juga kes-kes di mana kanak-kanak tersebut terutamanya perempuan menjadi mangsa penderaan seksual serta ada juga yang telah dikahwinkan secara paksa.

“Kes itu boleh dianggap terpencil, namun ia berlaku dan sering diperkatakan di kawasan pedalaman kerana tidak mempunyai akses yang sempurna kepada dunia luar.

“Hak kanak-kanak diabaikan dan tidak diberi perhatian oleh mereka sepatutnya manakala ibu bapa tidak mempunyai tenaga untuk membesarkan mereka dengan sempurna ke­rana faktor kemiskinan dan kesusahan hidup,” jelasnya.