Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Suraya Yaacob berkata, adalah tidak wajar menggunakan wang rakyat mendahulukan atau memberi manfaat kepada pihak swasta sedangkan masih ba­nyak sekolah kebangsaan (SK) dan sekolah menengah kebangsaan (SMK) di bawah Kementerian Pendidikan yang memerlukan peruntukan kewangan.

SURAYA YAACOB
SURAYA YAACOB 

Beliau berkata, langkah itu juga bercanggah dengan semangat Perkara 153(2) Perlembagaan Persekutuan berhubung keistimewaan pendidikan yang sepatutnya menguta­makan kepentingan orang Melayu dan bumiputera.

“Adakah kerajaan Pakatan Harapan (PH) ingin menjulang kepentingan institusi pendidikan Cina termasuk berstatus swasta berbanding SK dan SMK yang lebih berkonsepkan perpaduan anak bangsa?,” soalnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyata­an Kementerian Pendidikan semalam yang menjelaskan bahawa peruntukan kepada sekolah menengah persendirian Cina 2019 berjumlah RM12 juta, bukan merupakan peruntukan Kementerian Pendidikan sebaliknya adalah dana khas yang disalurkan terus oleh Kementerian Kewangan kepada sekolah terbabit.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, Kabinet wajar bertindak berhubung kenya­taan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik bahawa banyak peruntukan penambahbaikan prasara­na SK dan sekolah agama masih di pe­ringkat kajian Ke­menterian Kewa­ngan.

REEZAL MERICAN
REEZAL MERICAN 

Menurutnya, rakyat kini berasa khuatir kerana peruntukan untuk sekolah persendirian Cina boleh dipercepat melalui penyediaan dana khas Kementerian Kewangan.

“Kementerian Ke­wangan sewajar­nya menjadi fasilitator kepada usaha menurunkan dana dan peruntukan ber­sesuaian kepada Kementerian. Jangan jadikan Kementerian Kewangan sebagai ‘kubu’ untuk membina kekuatan politik peribadi dan parti sendiri.

“Kegusaran rakyat ini ada asasnya. Prasarana sebahagian sekolah kebangsaan dan agama berada dalam keadaan cukup daif. Ia memerlukan dana segera dan kelewatan birokrasi seperti ini seolah-olah menjadikan pelajar sebagai mangsa permainan politik,” katanya.