Lam Thye, yang merupakan juga penaung Yayasan Maha Karuna (YMK) berkata golongan kaya dari semua kaum perlu tampil membantu rakyat yang miskin termasuk warga emas yang ditinggalkan oleh anak-anak mereka.

“Dalam usaha mereka mengejar kejayaan dalam bidang masing-masing, rakyat Malaysia yang kaya-raya tidak sepatutnya kehilangan nilai kemanusiaan sehingga melupakan golongan miskin.

“Mereka tidak seharusnya terlalu asyik mengejar kekayaan sehingga terlupa perkara lain yang tidak memberi keuntungan peribadi atau ganjaran,” katanya selepas menyampaikan bantuan kepada kira-kira 1,500 warga emas di bangunan Bodhi Dharma Vihara di Cheras hari ini.

Walaupun ramai rakyat Malaysia yang pemurah, beliau berkata, lebih banyak boleh dilakukan oleh golongan kaya untuk membantu golongan miskin dan kurang bernasib baik.

Lam Thye berkata, golongan muda juga harus diajar untuk menghormati warga emas yang telah membantu membangunkan negara selama ini.

Beliua yang juga merupakan Pengerusi Yayasan Perpaduan Malaysia berharap Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dapat mempromosikan nilai murni sejagat seperti prihatin dan menghormati orang tua.

“Tamadun dan kemajuan tidak seharusnya diukur hanya berdasarkan Keluaran Dalam Kegara Kasar dan kapasiti teknologi.

“Ia juga diukur berdasarkan perasaan dan tindak balas masyarakat apabila melihat penderitaan serta penafian dan pelanggaran hak asasi manusia,” katanya.

Menurut Lam Thye, masyarakat penyayang memberi penekanan terhadap pembangunan insan yang dipenuhi dengan perasaan belas ehsan, memahami, adil dan murah hati.

“Ia adalah asas penting untuk mewujudkan masyarakat penyayang dan untuk mencapai matlamat ini, penting bagi masyarakat untuk mengenali nilai-nilai murni yang wujud dalam setiap individu,” katanya.

Program tersebut dianjurkan oleh Persatuan Buddha Mahayana Malaysia, Persatuan Bodhi Dharma Vihara dan Dharmakaya Vihara Malaysia.

Turut hadir Pengerusi YMK B. Sri Saranankara Nayaka Maha Thero dan pengarah YMK Jacob Chan Teng Meng.

Selain menerima beg yang mengandungi makanan dan barangan keperluan, warga emas tersebut juga turut menjalani pemeriksaan kesihatan dan pergigian serta mendapatkan perkhidmatan memotong kuku dan rambut secara percuma. - UTUSAN ONLINE