LIOW TIONG LAI

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, langkah itu sejajar dengan aspirasi untuk menjadikan Bentong sebagai bandar pintar mesra alam selain statusnya sebagai bandar satelit.

“Ia akan menjadi 100 peratus bandar pintar pertama di Malaysia yang menggunakan teknologi pintar terkini China.

“Projek tersebut yang di­jangka bermula akhir tahun ini akan mengambil masa 18 hingga 24 bulan untuk disiapkan,” katanya selepas pelancaran Kempen Penyelesaian dan Produk Industri Pembinaan CSC Jalur dan Laluan Malaysia 2017 di sini hari ini.

Bagaimanapun, kos keseluruhan projek itu di tanah se­lu­as 16 hektar tidak dinyatakan.

Sementara itu, Datuk Cle­ment Tan Wei Loon, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Quantum March Sdn. Bhd., pemaju bersama pembangunan bandar pintar itu berkata, projek itu merupakan usaha sama antara dua syarikat tempatan dan 10 syarikat milik China.

“Hari ini kami menandatangani empat perjanjian berkaitan projek tersebut dan lebih banyak perjanjian dijang­ka dimeterai,” katanya.

Selain Quantum March, sebuah lagi syarikat tempatan, DSA Deve­lopment Sdn. Bhd. akan membangunkan projek bandar pintar yang akan datang secara bersama.

Projek tersebut dengan nilai pembangunan kasar sebanyak­ RM3.5 bilion akan terdiri daripada bandar pintar yang terma­suk rumah, hotel, universiti dan pusat kesihatan merangkumi industri pintar, kehidupan pintar dan pengurusan pintar yang menggunakan teknologi terkini dari China.

Terdahulu, pada majlis itu, Ketua Penasihat Kempen, Datuk Mohd. Nazifuddin Najib berkata, kempen itu yang menampilkan CSC-Lifestyle Experimental Showcase diadakan di sini mulai hari ini hingga 5 Januari 2018 yang menumpukan kepada teknologi hijau dan penyelesaian data.

“Kempen ini akan menganjurkan 100 forum dan bengkel bagi membolehkan pemaju hartanah Malaysia meningkatkan pengetahuan mereka me­ngenai teknologi terkini dalam industri pembinaan China,” katanya. – BERNAMA