Ahli Parlimen Kuala Nerus, DATUK DR. MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI yang juga Ahli Majlis Syura Ulama Pas menyampaikan pandangan beliau dalam pelbagai isu melibatkan hal ehwal agama Islam antaranya gejala lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) kepada wartawan Utusan Malaysia, SAFINA RAMLI dan jurugambar, SAIFUL BAHARI ASHARI.

KUALA LUMPUR 21 FEBRUARI 2015-Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS,
 

UTUSAN: Isu berkaitan golongan LGBT semakin hangat diperkatakan pada masa ini ditambah pula dengan sikap pimpinan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dilihat agak lunak terhadap mereka. Apakah pendirian Pas mengenai isu tersebut?

MOHD. KHAIRUDDIN: Pertama sekali, amalan LGBT bercanggah dengan Islam, bercanggah dengan nilai kemanusiaan dan undang-undang negara. Undang-undang sivil dan juga undang-undang kesalahan syariah di pe­ringkat negeri, ertinya kalau lihat daripada sudut ini kesemuanya bercanggah. Bercanggah dengan nilai moral kemanusiaan, agama dan undang-undang negara di peringkat persekutuan dan ne­geri. Sikap kita jelas iaitu sebarang perlakuan yang melibatkan jenayah adalah jenayah. Kita hormati hak seseorang manusia itu perkara semua tahu.

UTUSAN : Malaysia Baharu ini menyaksikan umat Islam sering dicabar dengan pelbagai isu me­libatkan agama Islam. Bagaimana Pas akan memainkan peranan dalam memastikan hak umat Islam negara ini terus terpelihara?

MOHD. KHAIRUDDIN: Kita tegas dengan isu Islam, apa sahaja isu melibatkan agama Pas akan ke depan sama ada di Parlimen atau di luar Parlimen. Situasi sekarang banyak dasar-dasar Islam cuba dirobek tentulah kami lebih awal akan menjadi penentang. Pas bersedia menjadi benteng pertama untuk mempertahankan Islam.

UTUSAN: Dalam soal mempertahankan Islam di negara ini bagaimana pula dengan kerjasama antara Pas dan UMNO?

MOHD. KHAIRUDDIN: Kerjasama dengan UMNO iaitu melibatkan kepentingan Islam dan kepentingan rakyat kita namakan sebagai kerjasama strategik. Namun dari sudut dasar tidak ada sebarang kerjasama kerana UMNO dan Pas mempunyai perbezaan dasar yang ketara dan apa sahaja kerjasama melibatkan dasar itu memerlukan keputusan daripada muktamar dan Majlis Syura Ulama dan kita belum me­rancang ke arah itu.

UTUSAN: Adakah Pas melihat kerajaan PH pada masa ini serius dalam memastikan hak umat Islam terbela?

MOHD. KHAIRUDDIN: Saya tidak melihat keseriusan mereka kerana apa yang ketara adalah DAP sangat lantang memperjuangkan apa yang mereka perjuangkan dan juga kelompok yang dilihat liberal tidak mesra dengan amalan Islam semakin lantang dan diberikan satu laluan oleh menteri-menteri dengan pelbagai isyarat dan cara. Golo­ngan pendukung Islam pula diberikan satu gambaran buruk tetapi mereka (golongan liberal) diberikan gambaran yang baik. Ini meresahkan umat Islam.

UTUSAN: Dalam soal Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) Pindaan 2016 (RUU355), apakah harapan Pas terhadap akta tersebut yang masih lagi tertangguh?

MOHD. KHAIRUDDIN: Saya cabar kerajaan PH, kenapa tidak kerajaan PH pula yang bentang. Mereka akan buat alasan kami akan buat jawatankuasa kaji dahulu, perkataan kaji ini akan jadi senjata kepada ahli politik untuk memanipulasi pemikiran rakyat kononnya mereka bersungguh-sungguh tetapi hakikatnya mereka kosong, helah politik semata-mata.