Lebih membimbangkan, penggunaan benih ‘haram’ yang tidak menepati piawaian di bawah standard Jabatan Pertanian itu amat berisiko khususnya dalam aspek pengawalan penyakit termasuk menjejaskan tanaman padi pengusaha lain.

Ketua Pengarah Jabatan Pertanian, Datuk Jamal Harizan Yang Razali berkata, masalah tersebut berpunca daripada tahap ke­sedaran dalam kalangan petani padi tempatan amat rendah berhubung kepentingan penanaman menggunakan benih sah.

“Antara faktor lain mereka memilih untuk menggunakan benih padi tidak sah ini adalah kerana faktor harga dan ko­nonnya mahu menjimatkan kos operasi.

“Namun, mereka tidak tahu kesan sebaliknya sekiranya meng­gunakan benih padi tidak sah, pertumbuhan pokok tidak seragam dan paling merugikan benih berkenaan akan menghasilkan padi angin (padi yang gugur sebelum tempoh matang.

“Jika ini berterusan, tidak mustahil ia akan menjejaskan jumlah pengeluaran dan produktiviti beras negara,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut impak terhadap penggunaan benih padi tidak sah, Jamal Harizan menjelaskan, secara pasti petani itu akan mengalami kerugian besar.

“Bayangkan tanam berhektar-hektar, tetapi yang keluar padi angin apa yang mereka boleh jual.

“Bukan itu sahaja, belum lagi menyentuh soal penyakit di mana benih tidak sah ini amat berpotensi tinggi menerima ancaman sehinggakan penggunaan racun kimia juga tidak memberi kesan.

“Malah penyakit daripada penggunaan benih tidah sah ini turut memberi ancaman kepada penanam lain sekali gus penyakit ini tersebar di banyak kawasan seluruh negara,” katanya.

Sehubungan itu, Jamal Harizan menegaskan, sebab itu, kerajaan menerusi Kementerian Pertanian amat menekankan dan menyeru kepada petani tempatan agar menggunakan benih padi sah kerana ia lebih selamat dan terjamin.

“Ada banyak varieti benih sah MR297, MR263, MR269 dan MR219, semua ini diperakui selamat, berkualiti dan terjamin yang berdaftar serta dikawal pengeluarannya mengikut prosedur Skim Pengesahan Benih Padi.

“Semua sampel benih padi sah ini melalui sampel ujian mengikut Garis Panduan Ujian Biji Benih ditetapkan Persa­tuan Ujian Benih Antarbangsa,” ujarnya.