Tanaman yang benihnya dipercayai dibawa masuk secara haram melalui kapal terbang itu, dikesan agensi tersebut setelah pemilik­nya mula mengiklankan penjualan benihnya di Facebook beberapa hari lalu.

Berikutan itu, ramai pihak yang menyatakan minat untuk membeli benih tersebut yang dikatakan lebih tahan penyakit, berkualiti dan kurang kanji berbanding padi biasa.

Namun ramai yang tidak sedar perbuatan itu mendedahkan padi tempatan kepada serangan pelbagai jenis penyakit baharu yang dibawa dari luar negara.

Pengarah Pertanian negeri, Zulkefli Amin Mat Jusoh berkata, pihaknya memandang serius perbuatan membawa masuk benih tanaman dari luar negara tanpa kebenaran daripada pihak berkuasa.

Kata beliau, pihaknya dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) hanya membenarkan kemasukan benih bagi tujuan tertentu seperti penyelidikan.

“Kita bimbang, kemasukan benih padi asing secara haram tanpa melalui pemeriksaan dan kuarantin akan membawa masuk sama penyakit-penyakit.

“Beberapa tahun lepas, kita berhadapan dengan masalah penyakit karah batang dan hawar daun bakteria (BLB) ekoran kemasukan benih padi secara haram dari Pakistan dan Vietnam, yang sehingga kini sukar dihapuskan dan telah menjejaskan hasil tanaman padi tempatan.

“Kira-kira 10 tahun lalu, kita juga berhadapan penyakit padi merah yang disebabkan sejenis virus daripada benih padi yang dibawa masuk secara haram dari Thailand,” katanya ketika dihubungi.

Zulkefli Amin berkata, pihak­nya kini membanteras kegia­tan pihak tertentu yang mahu menga­ut keuntungan segera melalui penjualan benih seperti padi dan durian asing secara haram.

Beliau melahirkan kebimbangan kerana urusan penjualan benih-benih itu yang dijalankan melalui laman-laman sosial kini menjadi lebih mudah dan boleh merebak sehingga ke seluruh negara.

Katanya, berdasarkan pemeriksaan pihaknya terhadap padi Black Madras itu, tanaman tersebut ditanam di kawasan seluas 0.4 hektar untuk tujuan penghasilan benih yang dianggarkan dijual kira-kira RM5 sekilogram.

“Kawasan itu kini dikuarantin bagi mengelak kemungkinan penyakit padi merebak ke tanaman padi tempatan.

“Individu yang menanam padi ini boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 jika sabit kesalahan,” katanya.