Eksekutif Pengurusan Jenama Utusan Melayu (M) Bhd., Haz­wan Hairul berkata, bengkel yang turut mendapat sokongan daripada GiatMara, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) serta Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) itu disertai oleh kira-kira 70 peserta.

“Kelantan adalah lokasi kedua kita mengadakan bengkel ini bersempena Karnival Pendidikan Mara selepas Kuala Lumpur sebelum ini dan sambutan yang diterima amat menggalakkan.

“Bengkel yang diadakan selama sejam setengah ini telah disampaikan dalam bentuk santai oleh Penolong Pengarang Unit Media Baharu, Mohd. Hazli Hassan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini

Hazwan berkata, menerusi bengkel ini, peserta didedahkan dengan dunia kewartawanan se­perti cabaran serta perkongsian mengenai pengalaman berharga.

“Dalam bengkel ini juga, kita banyak membantu peserta bagaimana cara untuk menceburkan diri dalam bidang kewartawanan,” katanya.

Sementara itu, seorang peserta, Wan Anis Nabila Wan Molly, 18, berkata, bengkel sedemikian amat bermanfaat kerana banyak pendedahan yang diperolehnya.

“Sebelum ini saya kurang tahu mengenali dunia kewartawanan ini, namun setelah mengikuti bengkel ini, saya semakin tertarik de­ngan bidang ini.

“Bengkel sebegini amat membantu pelajar-pelajar lepasan SPM mahupun STPM untuk memahami setiap bidang yang ditawarkan,” katanya.

Seorang lagi peserta, Nabilah Azmi, 18, berkata, pendedahan yang diberikan menerusi bengkel ini cukup menarik.

“Setelah mengikuti bengkel war­tawan kadet ini, saya sudah faham serba sedikit mengenai tugas dalam bidang kewartawanan,” katanya.