Johari Abdul Ghani

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kerajaan akan bertindak lebih tegas ke atas pihak atau syarikat yang menjalankan skim pelaburan meragukan dan pada masa sama rakyat perlu meningkatkan pengetahuan dalam hal ehwal pelaburan atau celik pelaburan bagi mengelak mudah ditipu.

Beliau berkata, kegiatan pe­nipuan dalam pelaburan melibatkan pelbagai peringkat ma­syarakat daripada golongan muda sehingga ke pesara dan perlu dibendung sebelum memberi kesan buruk kepada ekonomi negara.

“Saya setiap hari dapat aduan mengenai skim pelaburan yang menawarkan pulangan lumayan dan tidak masuk akal dalam tempoh singkat. Golongan muda kebanyakan mengadu terpedaya dengan skim pelaburan di media sosial seperti teknologi kewa­ngan manakala golongan pesara pula rugi apabila menggunakan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka untuk melabur.

“Saya berharap sebelum membuat keputusan melabur, buatlah sedikit penyelidikan serta merujuk pihak berkuasa seperti Bank Negara dan tidak mudah percaya dengan keuntungan yang dijanjikan,” katanya selepas Majlis Cabutan Bank Simpanan Nasional (BSN) Sijil Simpanan Premium (SSP) 2017, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Eksekutif BSN, Datuk Yunos Abd. Ghani.

Johari berkata, selalunya mangsa ditipu dan kehila­ngan sejumlah besar wang mereka sebelum kes itu dilaporkan ke pihak berkuasa dan adakalanya kes sukar di­selesaikan kerana transaksi serta pelaburan itu berpangkalan di luar negara.

Menurutnya, kerajaan juga bekerjasama dengan institusi kewangan termasuk BSN dalam usa­ha mewujudkan celik kewa­ngan dalam kala­ngan rakyat agar mereka tidak mudah ditipu.

“Di BSN, inisia­tif ini dilaksanakan melalui SSP yang memberi insentif ganjaran sejak 1978 selain simpanan bergerak BSN Smart Junior dan BSN Galakan Simpanan Pelajar yang merupakan skim simpanan berformat pertandingan, galak murid dan pelajar menyimpan serta ambil bahagian dalam pertandingan setiap tahun.

“Celik kewangan ini merupakan tanggungjawab bersama. Oleh itu, kerjasama padu diperlukan daripada semua pihak berkepentingan,” katanya.