S. Piarapakaran
S. PIARAPAKARAN 

Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (Awer), S. Piarapakaran berkata, perkara tersebut yang didedahkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ternyata amat mengejutkan semua pihak dengan sikap sambil lewa agensi terlibat terhadap nyawa masyarakat.

“Kita amat terkejut dengan pendedahan Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohammad Hamdan berkenaan alasan kos pembersihan tinggi itu. Bagaimana agensi-agensi bertanggungjawab boleh membuat keputusan untuk membiarkan bahan kimia begitu saja.

“Seksyen 47 Akta Kualiti Alam Sekeliling memberikan kuasa kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk menuntut kos dan perbelanjaan. Awer telah menggesa penggunaan seksyen ini setiap kali pencemaran berlaku,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Mohammad ketika bercakap dengan pemberita di Ipoh menegaskan yang tindakan membersihkan sisa toksik itu perlu diambil di peringkat awal kerana ia mendatangkan kemudaratan kepada komuniti setempat ekoran bahan kimia tersebut mempunyai reaksi aktif apabila berlaku cuaca panas selain tiupan angin.

Mengulas lanjut, berdasarkan kenyataan JBPM mengenai alasan penjimatan kos itu, Piarapakaran menggesa Kerajaan Persekutuan untuk menyiasat bencana toksik ini dengan telus dan mengambil tindakan terhadap menteri serta Ketua Pengarah agensi berkaitan serta merta atas kegagalan melindungi nyawa rakyat. - UTUSAN ONLINE