Hujah mereka, Utusan masih berada dalam kepompong sendiri ketika kononnya Malaysia kini sudah memasuki era baharu berikutan kejayaan Pakatan Harapan menjadi kerajaan

Menuduh Utusan Malaysia mengamalkan sikap rasis dalam memperkatakan isu tersebut sehingga boleh membahayakan Malaysia yang merupakan negara berbilang kaum, boleh dianggap keterlaluan.

Ia memandangkan pandangan pelbagai pihak berhubung pelantikan itu termasuk yang mempersoalkannya bukan disiarkan oleh Utusan Malaysia sahaja bahkan juga oleh media lain.

Soalnya,kenapakah Utusan Malaysia sahaja menjadi sasaran? Apakah agenda kedua-dua tokoh wartawan berkenaan?

Bukankah sekarang zaman kebebasan media yang mana pelbagai pendapat boleh disiarkan asalkan ia berdasarkan kepada fakta dan hujah?

Apakah oleh kerana kita berada di alam Malaysia baharu maka soal kepentingan Islam dan orang Melayu sudah dianggap tidak relevan lagi untuk dibicarakan?

Bagaimana pula dengan portal berita dan akhbar tertentu yang sebelum ini turut dilihat rasis dalam laporan mereka? Kenapa mereka tidak dibidas atau dkritik apatah lagi dituduh rasis seperti mana dialami oleh Utusan?

Mungkin ramai sudah lupa asas penubuhan dan perjuangan Utusan. Melang­kah ke era baharu yang begitu hebat dicanangkan tidak bermakna Utusan perlu berundur meninggalkan perjuangannya demi mem­bela orang Melayu dan Islam serta menghormati kepen­tingan kaum lain.

Sememangnya perjua­ngan tersebut akan diteruskan kerana ia bersesuaian dengan sikap terbuka kerajaan hari ini.

Namun begitu perjua­ngan tersebut akan dilakukan secara berhemah dan rasional bukannya seperti mana tulisan-tulisan dalam laman sosial seperti Twitter yang menyerang Utusan penuh emosi dan dangkal.

Seperkara lagi perlu difahami, bertukar kerajaan bukan bermakna jati diri sebuah media itu perlu dikorbankan.

Akhbar perjuangan se­perti Utusan Malaysia tidak akan berbuat demikian, sementara laporan berkaitan kerajaan dilakukan dengan meluas, pandangan-pandangan yang kritis perlu di­salurkan demi kepentingan rakyat dan negara.

Itu juga yang dilakukan Utusan dalam menyiarkan laporan berkaitan pelantikan peguam negara. Pandangan tokoh pelbagai kaum dan agama diberi ruang untuk penilaian pembaca.

Laporan dibuat sama sekali tidak boleh dikaitkan dengan perkauman sebaliknya hanya memaparkan pandangan pihak yang mungkin dianggap tidak selari dengan kerajaan.

Utusan hanya menyiar­kan bertepatan dengan agenda kebebasan bersuara kerajaan hari ini dan apabila keputusan sudah dibuat sudah pasti kita akan menghormatinya.

Kesimpulannya diharap­kan tiada lagi mana-mana pihak yang akan menuduh Utusan rasis sebaliknya sedarlah realiti kita kini berada dalam era baru kebebasan media. Ia akan diamalkan dengan penuh tanggungjawab.