Menurut adiknya, E. Santhi, keadaan Ben Nathan juga stabil dan tidak menunjukkan sebarang tindakan agresif.

“Sebelum ini kita pernah bawa dia pergi hospital tetapi dia meron­ta-ronta mahu ke­luar. Tetapi seta­kat ini dia masih mendengar kata.

“Lagipun dia tahu semalam, Da­tuk DJ Dave yang bawa dia ke hospital dan ramai petugas media datang bertemunya,” kata Santhi di sini hari ini.

Nama Ben Nat­han menjadi se­butan ramai kebelakangan ini apabila kisahnya yang hidup ibarat gelandangan menjadi tular di laman sosial.

Susulan itu, DJ Dave yang juga Presiden Ya­yasan Artis 1Malaysia (YA1M), telah berjumpa Ben Nathan buat kali keempat semalam dan terus membawanya ke hospital untuk rawatan lanjut.

Tambah Santhi, laporan kesihatan yang diberikan doktor menunjukkan abangnya itu tidak menghidapi sebarang penyakit yang serius.

“Doktor hanya memberi dia ubat tidur supaya dia da­pat berehat. Sudah lama agaknya dia tidak mendapat tidur yang cukup sepanjang berada di jalanan.

“Selain itu, doktor beri­tahu keadaan Ben Nathan sihat. Ujian air kencing juga menunjukkan dia bebas daripada sebarang pengaruh negatif,” katanya.

Ditanya mengenai tindakan susulan yang akan diambil oleh ahli keluarga, Santhi menjelaskan, buat masa ini dia merancang untuk membawa pulang dan menjaga abangnya itu.

“Semalam saya sudah berjumpa dengan Ja­batan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan menurut me­reka, keadaan Ben Nathan tidaklah te­ruk sangat.

“Malah mereka beritahu ada individu yang lebih teruk daripada dia. Jadi, saya fikir untuk masa terdekat ini, lebih baik kami sekeluarga yang menjaganya dahulu,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah HKL, Datuk Dr. Zaini­ah Mohd. Zain berkata, hasil pemeriksaan kesihatan terhadap penyanyi itu mendapati dia berada dalam keadaan normal dan sihat.

“Ben Nathan berada dalam ke­adaan baik. Mungkin kea­daan yang tidak terurus menyebabkan dia kelihatan tidak normal seperti orang lain.

“Namun, kita masih me­nunggu keputusan ujian darah untuk menentukan sama ada dia sudah boleh keluar wad, buat masa ini kita mera­watnya dan masih dalam pemantauan doktor,” katanya.

Tentang Ben Nathan yang sering bercakap mempu­nyai rakaman dan persemba­han mahu dilakukan, Zaini­ah berkata, dia mungkin menga­lami tekanan atau ke­murungan sehingga ber­kelakuan kurang normal.