BIL elektrik yang tinggi Masjid Raja Haji Fi Sabilillah disebabkan status bangunan komersial yang belum ditukar kepada rumah ibadat.

Pengarah JAIS, Datuk Haris Kasim berkata, pihak pengurusan masjid telah menyedari perkara itu dan segera bertindak mengubah status tarif bil elektrik bermula tahun ini.

"Memang pada awal penyerahan masjid berkenaan kepada JAIS, tarif elektrik yang dikenakan adalah kategori komersial kerana pihak pemaju tidak menukarkan status bil berkenaan.

“Namun perkara ini telah disedari pengurusan masjid dan kemudian memohon agar ia ditukarkan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Beliau mengulas kadar utiliti termasuk elektrik Masjid Raja Haji Fisabilillah yang berjumlah RM361,585 pada tahun lalu atau RM30,312 sebulan yang tular di media sosial sedangkan ia merupakan masjid pertama di negara ini menggunakan teknologi hijau dan jimat tenaga.

Masjid Raja Haji Fi Sabilillah turut menjadi masjid pertama di Malaysia menerima sijil Indeks Bangunan Hijau (GBI) dengan penarafan platinum.

Masjid bernilai RM44.3 juta yang dibina oleh ATSA Architects pada 18 Mac 2013 dan siap pada 19 Januari 2015 itu berkonsepkan hijau secara keseluruhannya daripada penggunaan air sehinggalah kepada reka bentuknya.

Boleh memuatkan 8,300 jemaah dalam satu masa, ia diilhamkan daripada seni bina Masjid Negara.