Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, cadangan itu dilontarkan pihak lain dan tidak ada kaitan dengan kerajaan.

“Kita belum kaji lagi. Saya tidak tahu, ada orang lain yang cadangkan bukan kita (kerajaan),” katanya dalam sidang akhbar di lobi Parlimen, hari ini.

Semalam aktivis, Fadiah Nadwa Fikri menggesa untuk menilai semula buku teks sejarah dan memasukkan fakta mengenai perjuangan kemerdekaan golongan berhaluan kiri termasuk Parti Komunis Malaya (PKM).

Bercakap dalam forum Perlukah Kita Menulis Semula Buku Sejarah? Fadiah Nadwa berkata, perjuangan puak berhaluan kiri tersebut merupakan fakta yang tidak dimasukkan dalam buku teks sedia dan golongan kiri turut sama berjuang untuk kemerdekaan negara.

Dalam pada itu Dr. Mahathir berkata, sekiranya cadangan itu dilaksanakan ia bukan bertujuan untuk mempromosikan fahaman komunis sebaliknya hanya menerangkan idealogi tersebut.

“Bukan (masukkan) perjuangan komunis. Kita kena faham apa itu komunis.

“Kita bukan mahu mempromosikan fahaman komunis. Tidak tetapi, kita kena tahu apa dia komunis? Apa itu kapitalis, demokrasi dan kleptokrasi. Kita kena faham,” katanya. - UTUSAN ONLINE