Azalina Othman

Menurut Azalina, jawatan yang bakal dilepaskannya itu perlu diambil alih oleh calon yang terbaik dan bersedia untuk meneruskan cadangan perubahan di dalam Finas.

“Sekarang saya masih menunggu Pengerusi baharu datang selepas perbincangan dengan menteri. Pada saya lebih baik jika jawatan itu diberikan kepada pemimpin UMNO supaya selari dengan wawasan Barisan Nasional (BN). Suka atau tidak, itu terpulang kerana industri kreatif dimonopoli oleh orang Melayu.

“Tiada isu andai ahli politik seperti saya mempengerusikan perbadanan berkaitan industri kreatif itu memandangkan ahli lembaga pengarah lain terdiri daripada penggiat seni berpengalaman,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Finas di Restoran Rebung, di sini hari ini.

Azalina dilantik menerajui Finas berkuatkuasa 1 Jun lalu menggantikan Datuk Md. Afendi Hamdan yang memegang jawatan berkenaan bermula 1 September 2011 sehingga 31 Januari 2015.

Bagaimanapun, rombakan Kabinet yang dilakukan oleh Perdana Menteri membuatkan Ahli Parlimen Pengerang, Johor itu perlu melepaskan jawatan selepas dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Bercakap tentang perubahan yang telah diusulkannya, Azalina yakin kepemimpinan Finas sekarang dapat menerima dan akan bertanggungjawab menyelesaikan segala masalah berkaitan industri kreatif negara.

“Saya tidak perlu khuatir kerana warga Finas sudah sama-sama menerima perubahan itu. Saya berharap industri kreatif akan dipenuhi dengan kandungan tempatan selepas ini.

“Perubahan mungkin akan bermula dengan pelaksanaan Festival Filem Malaysia dan Ekspo Filem Malaysia yang akan dijalankan pada September ini,” katanya.

Sementara itu, Azalina turut mengkritik pengamal media sosial yang suka menghentam kepemimpinan Perdana Menteri sekarang.

“Suara laman sosial adalah suara dayus. Mereka terlalu bertindak mengikut emosi sehingga suka memberi pandangan yang tidak betul. Saya cabar mereka untuk meletak nama sebenar daripada menyamar kalau mahu mengkritik seseorang.

“Bagi saya, itu semua adalah ancaman digital dan senjata pembangkang untuk menurunkan kerajaan. Diharap pihak yang bertanggungjawab peka dengan isu ini,” katanya.

Terdahulu, selepas meme­gang jawatan dalam Finas selama sebulan 10 hari, Azalina membuat rombakan terhadap barisan ahli perbadanan agensi itu dengan melantik produser, Datuk Yusof Haslam sebagai Timbalan Pengerusi.