Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong berkata setakat 30 September lalu, jumlah tenaga kerja yang terlibat dalam sektor sawit, getah dan perabot adalah seramai 207,000 pekerja tempatan, manakala 331,000 pekerja asing.

"Sektor perladangan dan komoditi memerlukan tenaga kerja tempatan yang berpengetahuan dan berkemahiran bagi meningkatkan produktiviti dan meneruskan kelangsungan prestasi komoditi negara," katanya kepada media selepas merasmikan majlis penganugerahan sijil Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC) di sini hari ini.

Beliau berkata setakat ini IMPAC telah melatih 53,111 peserta melalui pusat-pusat latihan di bawah enam agensi kementerian dan menjangkakan 78,000 peserta daripada golongan belia akan dilatih menjelang 2020 yang memberi tumpuan kepada membekalkan tenaga kerja mahir dan separa mahir untuk sektor perladangan sawit dan perabot.

"Dalam meningkatkan produktiviti di bidang komoditi, amat penting bagi industri untuk beralih kepada penggunaan mekanisasi dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada tenaga manusia," katanya.

Sebagai contoh katanya, penggunaan satu mesin mencantas buah sawit adalah bersamaan dengan lima tenaga kerja manusia.

"Selaras dengan hasrat kerajaan juga, Lembaga Minyak SawitMalaysia (MPOB) turut menawarkan insentif 20 peratus diskaun pembelian mesin dan jentera untuk kegunaan di ladang sawit,"katanya.

Pada yang sama, Siew Keong mengumumkan IMPAC kini dilantik sebagai badan peneraju industri (ILB) dalam sektor perladangan dan komoditi oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia.

"Pelantikan ini akan memberi pengiktirafan dan memperkasa IMPAC sebagai pusat setempat untuk menyelaras, mengawal selia dan merancang aktiviti yang dijalankan terhadap semua kursus dan latihan dalam sektor perladangan dan komoditi mengikut Standard Kemahiran Pekerjaan Nasional,"katanya. -BERNAMA