DR. NURAZIRA MOHD. DAUD

Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr. Siti Nurazira Mohd Daud berkata, sikap masyarakat yang memilih barangan dan mementingkan jenama mendorong meningkatnya perbelanjaan persekolahan anak-anak.

Menurutnya, bukan sesuatu yang luar biasa apabila terdapat segelintir ibu bapa terikut-ikut berbelanja mewah hanya untuk kelengkapan persekolahan anak-anak.

“Terdapat pelbagai pilihan barangan dan jenama barangan sekolah. Contohnya, terdapat promosi jenama kasut terkenal yang menawarkan harga tertentu, sesuai dengan jenama tersebut. Selain itu, terdapat pakej beli dua pasang kasut dan satu beg sekolah pada harga RM99. Jika ibu bapa pilih yang berjenama, ada yang terpaksa membayar harga sepasang kasut sekolah sahaja, antara RM150 hingga RM170.

“Justeru, pilihan terletak di tangan pengguna mengikut kemampuan masing-masing,” katanya sambil memberitahu ibu bapa perlu memperuntukkan antara RM400 hingga RM500 untuk seorang anak.

Beliau menasihatkan ibu bapa supaya membeli barangan mengikut kemampuan kewangan keluarga dan jangan tunduk pada kemahuan untuk membeli di luar kemampuan.

“Tidak perlu terikut-ikut dengan cita rasa tinggi dan jenama. Membeli sekadar keperluan dan keutamaan sahaja. Sediakan senarai keperluan penting agar tidak membeli barangan yang tidak penting pada sesi awal persekolahan,” katanya.

Jelasnya, perancangan awal kewangan keluarga perlu bagi bulan penggunaan yang lebih daripada biasa seperti perbelanjaan persekolahan.