Ini kerana, mereka boleh juga berunding terus dengan kerajaan dan 1Malaysia Deve­lopment Berhad (1MDB) berhubung urusan jual beli kapal yang didakwa milik ahli perniagaan Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low itu.

Ia berikutan, Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan kerajaan dan Kumpulan 1MDB selaku pihak plaintif untuk meminda perintah sebelum ini yang ha­nya membenarkan pembeli berpotensi berunding dengan broker yang dilantik.

Peguam Jeremy Joseph yang mewakili pihak plaintif memaklumkan perkara tersebut kepada pemberita selepas pengurusan kes di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Datuk Khadijah Idris.

Biarpun begitu, peguam tersebut memaklumkan Burgess yang merupakan firma broker antarabangsa dan menguruskan penjualan kapal layar mewah tersebut masih kekal menjadi agensi broker pusat bagi urusan jualan.

“Pihak-pihak yang ingin membeli kapal Equanimity mempunyai pilihan sama ada untuk berurusan terus dengan kami ataupun berurusan de­ngan broker. Kami ingin memastikan bahawa jaringan ini dapat diperluas lagi agar pembeli berpotensi lain boleh berunding dengan kami secara langsung. Malah dengan perintah ini, ia diharap dapat memaksimumkan potensi pembelian,” katanya.

Pada 13 Disember tahun lalu, mahkamah sama membenarkan kapal Equanimity dijual pada harga tidak kurang daripada AS$130 juta (RM543 juta), iaitu separuh daripada harga asalnya yang bernilai AS$250 juta (RM1 bilion).

Pada 19 Oktober 2018, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan bahawa kerajaan dan Kumpulan 1MDB adalah pemilik benifisiari kapal Equanimity.