Pada 31 Disember lepas, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lepar, Datuk Mohd. Shohaimi Jusoh menghembuskan nafas terakhir pada usia 55 tahun di rumahnya di Sungai Isap Damai di Kuantan.

Allahyarham yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Paya Besar dilaporkan kurang sihat dan demam seminggu sebelum itu namun masih mengadakan pelbagai program turun padang di kawasannya.

Pada saat pemergian Allahyarham Mohd. Shohaimi masih dirasai, Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Seri Abdul Manan Ismail, 70, pula dijemput Ilahi selepas rebah di kediamannya di Taman Melawati, Kuala Lumpur, petang semalam.

Kehilangan dua pemimpin itu sememangnya tidak dijangka kerana tiada tanda-tanda mereka akan pergi selamanya apatah lagi dilihat aktif menghadiri pelbagai program di Paya Besar sebelum kejadian tersebut.

Namun, setiap individu bernyawa pastinya tidak dapat mengelak kematian apabila sudah tiba masanya dijemput Ilahi.

Penulis mengakui terkejut menerima berita kematian Allahyarham Abdul Manan kerana empat hari lalu kami duduk semeja dalam pertemuan santai di sebuah hotel di Kuantan.

Pada awalnya, Allahyarham yang juga Ketua UMNO Bahagian Paya Besar bersetuju bertemu penulis di kediamannya di Kuantan.

‘Okey, no hal lah’ respons Allahyarham menerusi aplikasi WhatsApp bagi menjawab pertanyaan penulis yang mahu bertemunya sebelum beliau memutuskan untuk menukar lokasi.

Sambil menikmati makan malam, Allahyarham yang ditemani isterinya berkongsi pelbagai pandangan dengan penulis bersama dua lagi rakan media dalam pertemuan kira-kira dua jam itu.

Sudah pasti topik perbualan lebih banyak berkisar kepada pilihan raya umum yang mana Allahyarham turut berkongsi tentang gerak kerja UMNO, parti yang amat disayanginya untuk berdepan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Kami juga berbual tentang situasi politik semasa yang memperlihatkan semangat Allahyarham untuk terus membantu Barisan Nasional (BN) kekal berkuasa.

Sepanjang lebih tiga tahun mengenalinya, penulis dapat simpulkan bahawa, berdedikasi, mesra, mudah didekati, baik hati, rendah diri dan mudah berseloroh sebagai gambaran sifat Allahyarham Abdul Manan.

Sebagai seorang wakil rakyat, Allahyarham dan kepemimpinan Paya Besar gigih menjalankan amanah dan tanggungjawab itu dengan memastikan kebajikan serta kesejahteraan penduduk di kawasan diwakilinya sentiasa terjamin.

Keadaan tersebut dapat dilihat apabila pelbagai projek pembangunan dilaksanakan di Parlimen Paya Besa agar penduduk dapat menikmati kehidupan dan infrastruktur lebih selesa serta lengkap.

Pembangunan tersebut merangkumi pelbagai aspek seperti menaik taraf jalan, pembinaan jambatan, rumah, masjid dan dewan orang ramai.

Meskipun memegang pelbagai jawatan seperti Pengerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Allahyarham tidak berasa tinggi diri sebaliknya mudah didekati dan mesra.

Setiap kali turun padang termasuk ketika menyampaikan sumbangan kepada penduduk yang ditimpa musibah, Allahyarham kelihatan tidak kekok untuk beramah mesra dengan orang ramai di mana-mana sahaja dan berbual bermacam-macam topik mengikut situasi. Begitu juga di setiap majlis yang dihadirinya.

Dalam kalangan petugas media khususnya di Pahang, Allahyarham mempunyai hubungan yang akrab dengan mereka kerana senang berurusan dan baik hati.

Hubungan itu bukan dibentuk dalam tempoh sehari dua tetapi berterusan sekali gus membolehkan mereka mengenali lebih mendalam hati budi Allahyarham.

Mengikut rekod Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Abdul Manan menang dengan majoriti 7,715 undi menewaskan calon PKR, Murnie Hidayah Anuar dan calon Bebas, Zahari Mamat.

Sebelum dipilih menjadi Ahli Parlimen Paya Besar, beliau adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panching dari 2004.

Sebelum menjadi ADUN, Abdul Manan merupakan Setiausaha Sulit Khas selama 18 tahun (1986-2004) kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.

Allahyarham turut memegang jawatan Pengerusi Yayasan Felda bermula tahun lalu.

Rakyat kini kehilangan seorang Ahli Parlimen yang amat berdedikasi dan sentiasa gigih berkhidmat untuk rakyat. Kehadiran Allahyarham Abdul Manan dalam arena politik negara pasti akan sentiasa diingati.

Ketiadaan Allahyarham Abdul Manan dan Allahyarham Mohd. Shohaimi juga merupakan kehilangan besar kepada saf kepemimpinan UMNO Paya Besar.

Perjalanan hidup mereka di atas muka bumi sudah menemuinya noktahnya namun khidmat, bakti, jasa dan sumbangan yang dicurahkan tidak akan dilupakan.

Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh mereka berdua.

Al-Fatihah! - UTUSAN ONLINE